White House pada Khamis memberi amaran agar tiada pihak yang cuba mengalihkan sebarang bukti nahas pesawat Penerbangan Malaysia yang terhempas di Ukraine selagi “siasatan menyeluruh dan telus" tidak dijalankan.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Presiden Ukraine Petro Poroshenko dilaporkan telah bersetuju mengenai perkara itu dalam satu perbualan telefon. Ini bagi mengelakkan bukti dari serpihan pesawat diusik atau ditutup dalam insiden yang dipercayai berpunca dari tembakan peluru berpandu.

Obama memberi jaminan kepada Poroshenko yang pakar-pakar Amerika Syarikat akan memberikan bantuan serta merta dan segera bagi menyiasat punca pesawat itu terhempas bersama 298 penumpang.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh White House itu juga melahirkan kebimbangan pihak pemberontak Ukraine yang pro Russia akan cuba mengubah bukti dari serpihan pesawat bagi mengelak dari dipersalahkan.

Pegawai-pegawai Amerika Syarikat bagaimanapun yakin, pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak dengan peluru berpandu.

Obama dalam perjalanan dari Delaware ketika dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Sebagai sebuah negara, ingatan dan doa kami adalah untuk ahli keluarga penumpang, dari mana pun asal mereka,” kata Obama di Wilmington, Delaware.

Sejurus tiba di New York, Obama menghubungi Setiausaha Negara John Kerry bagi membincangkan mengenai perkara itu.

Obama kemudiannya mengadakan mesyuarat keselamatan bersama pasukan keselamatan negara itu termasuk Ketua Staf White House Denis McDonough, Pengarah CIA John Brennan dan beberapa pegawai perisikan dan polisi luar negara.