Microsoft Copilot dipertingkatkan lagi pagi ini dengan ia kini dikuasakan oleh model terkini GPT-4 Turbo untuk pemprosesan teks dan model terkini DALL-E 3 untuk memproses teks kepada imej.

Copilot dengan GPT-4 Turbo sedang diuji oleh sebilangan kecil pengguna dengan ia akan diberikan kepada semua dalam masa beberapa minggu sahaja lagi.

Kemampuan ini boleh diakses oleh pengguna Windows 11 secara terus atau pengguna lain menerusi tab Copilot dalam Microsoft Edge.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, GPT-4 Turbo memberikan peningkatan memproses teks yang dimasukkan oleh pengguna kerana ia mempunyai kemampuan memproses 128,000 token konteks serentak yang bersamaan dengan prom sepanjang 300 muka surat.

Ia turut telah dilatih dengan data lebih terkini sehingga April 2023.  Pengguna turut boleh memuat naik data sendiri untuk diproses oleh AI generatif ini.

Copilot turut boleh melakukan ringkasan untuk video yang sedang ditonton. Dalam contoh yang diberikan, Copilot boleh memberitahu ringkasan video yang sedang dimainkan lengkap dengan cap masa supaya pengguna boleh terus ke bahagian video yang diringkaskan.

Menerusi kemampuan multi modal GPT-4 Turbo, integrasi dengan Bing Image juga dilakukan bagi memberikan kemampuan carian yang lebih tepat menggunakan gambar.

Model DALL-E 3 terkini pula boleh diakses menerusi Copilot dan juga Bing Image Creator. Dengan model yang lebih terkini, imej yang dijana oleh DALL-E akan kelihatan lebih realistik kerana pemahaman konteks yang lebih baik.

Dengan penggunaan GPT-4 Turbo, ciri Code Interpreter turut diberikan dengan ia boleh menghasilkan kod yang lebih baik berdasarkan prom, melalukan kira-kira yang lebih jitu, pemahaman matematik dan menganalisis data.

Pada waktu ini ia masih dalam fasa ujian dengan ia diberikan kepada sebilangan kecil pengguna untuk mengumpul maklum balas awal. -Amanz