Sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali didakwa telah memenggal kepala tiga orang penyelia selain membakar sebuah sekolah untuk kanak- kanak lelaki di wilayah Nangarhar di timur Afghanistan pada Sabtu.

Reuters melaporkan, militan Daish menjadi suspek utama insiden berkenaan.

"Mereka memenggal kepala tiga orang penyelia dan membakar bangunan sekolah itu," ujar jurucakap jabatan pendidikan, Mohammad Asif Shinwari.

Dia menambah, pejabat pentadbiran dan perpustakaan sekolah itu habis terbakar sepenuhnya.

Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, yang berlaku selepas satu amaran daripada Daish pernah dikeluarkan pada bulan lalu.

Amaran itu adalah mengenai serangan ke atas sekolah-sekolah di Nangarhar, di sempadan Pakistan, iaitu kawasan yang dikuasai kumpulan militan.

Dalam satu kenyataan, gabenor wilayah menuduh jenayah itu dilakukan oleh Daish, yang sebelum ini menjalankan siri serangan ganas di wilayah tersebut dan kawasan-kawasan lain.

Pihak Daish juga sudah 'biasa' memenggal kepala mangsa yang dituduh bekerjasama dengan kerajaan.