DUNIA
Minggu Atom Dunia himpun pemimpin global bincang masa depan tenaga nuklear

Alexey Likhachev (tengah) menyampaikan ucapan perasmian semasa Majlis Perasmian Minggu Atom Sedunia di Pameran Pencapaian Ekonomi Negara (VDNH) Moscow di Moscow, 25 Sept 2025. --fotoBERNAMA
MOSCOW: Minggu Atom Dunia, perhimpunan terbesar dunia mengenai industri nuklear dan berkaitan, bermula di sini pada Khamis dengan menarik penyertaan delegasi dari lebih 100 negara termasuk Malaysia bagi membincangkan masa depan tenaga nuklear ketika permintaan global terus meningkat.
Berlangsung sempena ulang tahun ke-80 industri nuklear Rusia, program empat hari di Pameran Pencapaian Ekonomi Negara (VDNH) Moscow itu dianjurkan oleh Rosatom State Atomic Energy Corporation dengan tema "Segalanya bermula dengan atom."
Acara ini menghimpunkan pembuat dasar, saintis, pemimpin industri dan media dari lebih 100 negara, merangkumi sesi pleno, perbincangan meja bulat serta segmen belia yang dijangka menarik lebih 18,000 peserta sebelum berakhir pada 28 Sept.
Dalam ucapan pembukaan, Timbalan Pertama Ketua Pejabat Eksekutif Presiden Rusia Sergei Kiriyenko berkata tenaga nuklear memerlukan kitaran panjang berasaskan kepercayaan bersama yang mendalam."Rusia dan Rosatom sentiasa menjunjung prinsip ini dengan membina kerjasama berkekalan, berkongsi kepakaran dan mewujudkan usaha sama di pasaran global. Kami yakin teknologi moden seharusnya membawa kemakmuran dan kesejahteraan, bukan dihalang oleh kekangan atau sekatan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Rosatom Alexey Likhachev berkata acara seminggu itu turut menampilkan Forum Atom Global dan mesyuarat Platform Nuklear BRICS.
"Matlamat kami adalah bergerak bersama ke satu masa depan di mana tenaga nuklear tiada alternatif sebagai sumber utama tenaga bersih dan mesra alam," katanya.
Ketua Pengarah Persatuan Nuklear Dunia (WNA) Dr Sama Bilbao Y Leon pula berkata terdapat peningkatan permintaan global terhadap teknologi nuklear dan penjanaan kuasa.
"Kami terus melihat kepentingan tenaga nuklear yang semakin meningkat di seluruh dunia. Sekali lagi, kami mengesahkan permintaan yang semakin bertambah terhadap teknologi nuklear dan penjanaan nuklear di seluruh dunia," katanya.
Beliau berkata persatuan itu menyatukan industri nuklear global dengan menghimpunkan pakar daripada syarikat dan negara utama untuk saling belajar, bekerjasama dan memajukan sektor berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami