Skip to main content

Dunia

Minyak mentah Brent cecah lebih AS$105 susulan konflik AS-Iran

61615167052_Brent.jpg
Minyak mentah penanda aras antarabangsa itu meningkat empat peratus kepada AS$105.24 setong, mencecah paras yang kali terakhir dicatatkan pada Mei. - Gambar fail
Advertisement

ISTANBUL: Minyak mentah Brent meningkat melebihi AS$105 setong pada Khamis apabila konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran yang semakin memuncak meningkatkan kebimbangan mengenai gangguan berpanjangan terhadap bekalan tenaga global, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Minyak mentah penanda aras antarabangsa itu meningkat empat peratus kepada AS$105.24 setong, mencecah paras yang kali terakhir dicatatkan pada Mei.

Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI), penanda aras AS, meningkat 4.4 peratus kepada AS$100.27 setong, melepasi paras AS$100 buat kali pertama sejak Mei.

Kenaikan itu berlaku ketika konflik AS-Iran memasuki bulan ketujuh, dengan serangan yang semakin meningkat terhadap kapal mencetuskan kebimbangan mengenai gangguan selanjutnya terhadap aliran bekalan minyak dari Asia Barat.

Sementara itu, penasihat kanan Rumah Putih secara tertutup telah berbincang dengan Presiden AS Donald Trump mengenai kemungkinan konflik itu berterusan sehingga baki tempoh pentadbirannya, menurut laporan Wall Street Journal yang memetik pegawai AS.

Laporan itu menyusuli kenyataan Trump pada Rabu bahawa perang berkenaan akan “berakhir serta-merta” selepas pilihan raya pertengahan penggal pada 3 Nov.

“Saya fikir perang akan berakhir serta-merta selepas pilihan raya kerana mereka tidak mampu bertahan lebih lama,” kata Trump kepada pemberita.

Peningkatan risiko geopolitik telah mengimbangi sebahagian daripada kejatuhan mendadak yang dicatatkan dalam pasaran minyak pada awal tahun ini.

WTI telah memperoleh semula kerugian yang dicatatkan pada awal Jun dan Julai, manakala Brent kini diniagakan jauh melebihi paras pada awal Jun.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement