Skip to main content

Dunia

Modi, Putin bincang perkongsian strategik, perdagangan dua hala

[TB]_modi, putin_AP
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama dalam bidang utama termasuk tenaga, mineral kritikal dan pertanian, selain pengambilan pakar India yang berkelayakan untuk bekerja di Rusia. - Foto AP
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden Rusia Vladimir Putin pada Jumaat membincangkan perkongsian strategik India-Rusia, termasuk usaha meningkatkan nilai perdagangan dua hala kepada AS$100 bilion menjelang 2030, lapor TV BRICS yang memetik Asian News International (ANI).

Menurut ANI, kedua-dua pemimpin turut membincangkan kerjasama dalam bidang utama termasuk tenaga, mineral kritikal dan pertanian, selain pengambilan pakar India yang berkelayakan untuk bekerja di Rusia.

Perbincangan dua hala itu berlangsung menjelang Sidang Kemuncak BRICS ke-18 di India.

Pada pertemuan di Pusat Konvensyen dan Pameran di New Delhi pada Jumaat, Modi menghadiahkan Putin senaskhah Thirukkural terjemahan bahasa Rusia, sebuah buku yang ditulis 2,000 tahun lepas di India oleh penyair dan ahli falsafah Thiruvalluvar.

Ketika menyampaikan hadiah itu, Modi berkata karya berkenaan merangkumi "seluruh aspek kehidupan manusia".

"Saya yakin interaksi antara rakyat akan meningkat dengan terjemahan Thirukkural ke dalam bahasa Rusia, yang akan memainkan peranan besar dalam memperkukuh hubungan kita," kata Modi.

Thirukkural ialah teks klasik Tamil yang mengandungi 1,330 kuplet, dengan setiap kuplet terdiri daripada dua baris. Karya itu turut menjadi panduan untuk menjalani kehidupan yang mulia. Menurut ANI, sarjana dari seluruh dunia menganggap karya itu sebagai karya agung kesusasteraan aforisme.

Kemudian, Modi dan Putin turut melawat pameran INNOPROM yang dianjurkan kementerian industri dan perdagangan kedua-dua negara di ibu negara India itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement