SEBANYAK 32 perkhidmatan kerajaan Britain tidak dapat diakses manakala empat lagi mengalami gangguan separa susulan langkah keselamatan bagi menangani potensi ancaman siber melibatkan bahasa pengaturcaraan PHP.
Memetik media antarabangsa, Menteri Teknologi, Baroness Lloyd of Effra berkata gangguan itu sebahagian besarnya berpunca daripada langkah berjaga-jaga bagi melindungi sistem sementara kemas kini keselamatan dilaksanakan.
Isu itu dikenal pasti selepas seorang penyelidik menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan kelemahan keselamatan kritikal dalam PHP, yang digunakan oleh hampir 70 peratus laman web di seluruh dunia.
Seorang jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata tiada perkhidmatan kritikal utama yang berhadapan dengan orang awam terjejas, namun beberapa laman web kerajaan ditutup sementara bagi membolehkan kerja keselamatan dilaksanakan.
Pada masa yang sama, Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSC) Britain bekerjasama dengan OpenAI dan rakan antarabangsa untuk menangani kelemahan berkenaan.
NCSC turut menggesa organisasi mengemas kini perisian PHP kepada versi yang telah dibaiki atau mempertimbangkan untuk menutup laman web sementara jika kemas kini tidak dapat dilakukan segera.
Sementara itu, Setiausaha Scotland, Douglas Alexander menegaskan keselamatan pembentangan Belanjawan Britain minggu depan tidak terjejas, meskipun laman web Pejabat Tanggungjawab Belanjawan (OBR) turut ditutup susulan isu berkenaan.