Skip to main content

Dunia

Monumen Assyria berusia 2,700 tahun ditemui di Nineveh, Iraq

Sumber: State Board of Antiquities
Monumen itu, yang diukir daripada batu marmar Mosul, mengandungi arca raja bersama inskripsi cuneiform yang terukir di belakangnya. - Foto Facebook/State Board of Antiquities and Heritage Iraq
Advertisement

ISTANBUL: Pihak berkuasa Iraq pada Rabu mengumumkan penemuan monumen purba Assyria berusia hampir 2,700 tahun semasa kerja pemulihan di Pintu Gerbang Shamash yang bersejarah di wilayah Nineveh, lapor Anadolu Ajansi, memetik agensi berita tempatan.

Artifak itu ditemui pada 6 Jun oleh misi arkeologi bersama Iraq-Amerika, menurut agensi berita negara Iraq INA.

Inspektor Barang Antikuiti Nineveh Ruwaid Muwaffaq al-Laila berkata monumen itu dibina pada zaman pemerintahan Raja Assyria Ashurbanipal, yang memerintah antara 668 dan 627 SM.

Setinggi kira-kira dua meter, monumen batu itu memperingati pencapaian seni bina raja di bandar purba Nineveh.

Al-Laila berkata penemuan itu berlaku semasa pembersihan serpihan dan kerja pemulihan di Pintu Gerbang Shamash.

Beliau berkata monumen itu, yang diukir daripada batu marmar Mosul, mengandungi arca raja bersama inskripsi cuneiform yang terukir di belakangnya.

Artifak itu kini dalam kajian sebelum rancangan untuk mempamerkannya sama ada di tapak asal atau di sebuah muzium di Mosul, ibu kota wilayah Nineveh, tambahnya.

--  BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement