Dalam usaha mewujudkan kembali keamanan, Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi menyeru semua kumpulan yang tidak menandatangani perjanjian genjatan senjata termasuk Tentera Pembebasan Kachin (KIA) untuk bersama-sama menyertai menandatangani perjanjian itu.

Seruan itu disuarakan Suu Kyi dalam satu pertemuan dengan pemimpin masyarakat Kachin semasa melawat Myitgyina di selatan Kachin pada Selasa. Myitgyina merupakan kawasan paling teruk dilanda peperangan.

"Persidangan Panglong Abad ke-21 adalah satu dialog penting untuk membina kesatuan demokratik persekutuan. Saya mahu semua menandatangani perjanjian genjatan senjata seluruh negara(NCA)," katanya sambil menyifatkan perjanjian itu bertindak sebagai dialog politik dan pemantau genjata senjata selain jaminan meminda perlembagaan.

Beliau mengalu-alukan kumpulan yang tidak menandatangani perjanjian untuk menyertai persidangan Panglong dan berbincang secara terbuka mengenai kehendak mereka.

"Saya tidak pernah berkata bahawa semua keperluan akan dipenuhi. Saya tidak boleh mengenepikan kepercayaan orang ramai. Tetapi saya boleh berjanji akan cuba semampu yang boleh untuk anda. Jadi semua perlu berbincang secara terbuka mengenai perkara itu," katanya.

Baru-baru ini, Suu Kyi mengadakan pertemuan dengan delegasi rundingan politik (DPN) bagi Majlis Persekutuan Perpaduan Kebangsaan (UNFC), yang mewakili kumpulan bersenjata yang tidak menandatangani perjanjian untuk NCA di Nay Pyi Taw dan bersetuju terhadap sembilan cadangan dikemukakan UNFC.

Mesyuarat kedua Persidangan Panglong Abad ke-21 dijadual pada April atau Mei dan perbincangan terbuka kepada semua kumpulan etnik bersenjata.

NCA dimulakan oleh kerajaan Myanmar sebelum ini dan lapan kumpulan bersenjata pada 15 Oktober 2015 dan mesyuarat pertama Persidangan Panglong Abad ke-21 berlangsung di Nay Pyi Taw pada Ogos-September 2016, lima bulan selepas kerajaan baharu pimpinan Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) mengambil alih pemerintahan. -- BERNAMA