Myanmar tetapkan 25 Januari sebagai pusingan akhir pilihan raya

Gambar fail menunjukkan tentera Myanmar melalukan sekatan jalan di laluan menuju ke kawasan kongres di Naypyitaw. - Gambar fail Reuters
YANGON: Junta Myanmar akan mengadakan pusingan ketiga dan terakhir pilihan raya yang dikawal ketat pada 25 Januari, menurut kenyataan pada Khamis (25 Dis), hanya beberapa hari sebelum fasa pertama pengundian bermula.
Pengumuman itu dibuat ketika pihak tentera meneruskan rancangan mengadakan pilihan raya yang dilihat oleh pemerhati demokrasi sebagai usaha mengabsahkan pemerintahan selepas rampasan kuasa 2021 yang mencetuskan perang saudara dan menyebabkan sebahagian besar wilayah Myanmar dikuasai kumpulan pemberontak.
Pemimpin demokrasi, Aung San Suu Kyi masih dipenjara sejak pengambilalihan kuasa, manakala parti beliau, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) yang menang besar pada pilihan raya 2020, telah dibubarkan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik junta kerana tindakan keras terhadap pihak yang menentang menjelang pengundian.
Suruhanjaya Pilihan Raya Kesatuan yang dilantik junta memaklumkan pusingan akhir pengundian akan berlangsung di 63 daripada 330 daerah di negara itu.
Pusingan pertama dijadualkan pada Ahad ini, manakala pusingan kedua pada 11 Januari.
Myanmar diperintah tentera untuk sebahagian besar sejarah pasca-kemerdekaan sebelum tempoh sedekad pemerintahan awam yang memberi harapan kepada reformasi demokrasi.
Harapan itu musnah apabila Panglima Tentera, Min Aung Hlaing merampas kuasa selepas parti yang disokong tentera tewas teruk dalam pilihan raya 2020, dengan alasan berlaku penipuan undi secara meluas.
Pasukan keselamatan bertindak ganas terhadap protes selepas rampasan kuasa, mendorong ramai aktivis mengangkat senjata bersama kumpulan etnik minoriti yang sekian lama menentang kerajaan pusat.
Junta memperkenalkan undang-undang yang menghukum protes atau kritikan terhadap pilihan raya dengan penjara sehingga 10 tahun.
Min Aung Hlaing menggambarkan pilihan raya akan datang sebagai langkah memulihkan demokrasi dan jalan damai bagi pihak bersenjata yang menentang pemerintahan tentera.
Bagaimanapun, pemerhati pilihan raya menegaskan proses ini didominasi parti yang berpihak kepada tentera, dengan pembangkang sebenar diketepikan sepenuhnya. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


