KUALA LUMPUR: Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menzahirkan penghargaan atas tindakan badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan MyAQSA yang akan mengemukakan bukti kekejaman Israel di Palestin kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda.

Dalam satu sidang media pada Jumaat, Walid berkata, Palestin melihat tindakan itu sebagai sebahagian daripada komitmen Malaysia untuk membela nasib rakyat mereka yang sedang melalui tindakan pembunuhan beramai-ramai atau genosid oleh rejim Zionis Israel.

Beliau berkata, dunia seharusnya melihat bahawa konflik yang berlarutan itu bukan semata-mata tentang agama, tetapi isu kemanusiaan yang memerlukan tindakan komuniti antarabangsa secara keseluruhan.

“Pihak Kedutaan bersama-sama MyAQSA, kami akan menyelaras dan bekerjasama serta cuba melakukan apa sahaja yang boleh kami lakukan bagi pihak Palestin dan rakyat Palestin yang menderita.

“MyAQSA telah melakukan kerja yang hebat dalam mengumpul semua bukti kekejaman, dan situasi ini juga sedang ditangani dengan serius oleh Kerajaan Malaysia, di mana ia telah dibincangkan dalam salah satu mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah baru-baru ini,” katanya lagi.

Pengerusi Pasukan Undang-undang MyAQSA Lukman Sheriff Alias dalam sidang media yang sama berkata, pihaknya telah menyediakan dosir yang lengkap dengan perincian berhubung kekejaman yang dilakukan Rejim Israel kepada populasi Palestin.

“Pasukan guaman kami akan berjumpa dengan Pendakwa Raya ICC di The Hague dalam masa terdekat untuk kami kemukakan dosir dan bukti berkenaan, dengan harapan ICC akan mempercepatkan pendakwaan terhadap rejim Zionis Israel.

“Kekejaman yang dilakukan mereka jelas merupakan jenayah pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusian, dan jenayah perang seperti mana termaktub di bawah Statut Rome,” tegasnya lagi.

Lukman Sheriff berkata, Yayasan MyAQSA menggesa pihak Pendakwa Raya ICC untuk menggunakan kuasa mereka, seperti mana yang termaktub dalam klausa berkaitan, untuk memulakan tindakan ke atas Israel.

Dalam pada itu Walid berkata, Kerajaan Palestin amat terharu dengan sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia berbilang bangsa. 

“Kami berharap semua pihak dapat memahami bahawa perjuangan kami bukan berkisarkan agama, sebaliknya ia adalah perjuangan menentang Israel, bukan orang Yahudi. Di Palestin, termasuk di Jerusalem (Baitulmaqdis), orang Kristian dan Muslim sedang menderita.

“Kami sebagai orang Muslim dan Kristian berganding bahu, bersama-sama menentang Israel. Israel itu hanyalah sekadar satu pelaburan untuk Zionis, yang ditubuhkan untuk agenda politik. Mereka menceroboh dan cuba meyakinkan dunia bahawa mereka ada hak untuk menubuhkan negara. Itu semua sekadar propaganda,” tegasnya lagi.