IPOH: Pengecualian caj parkir di kesemua tempat letak kereta di bawah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) serta tiket bot percuma di Taman Rekreasi Gunung Lang merupakan antara “hadiah” menarik sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh ke-38.
MBI dalam kenyataan memaklumkan pengecualian caj parkir akan dilaksanakan selama tiga hari bermula 19 Jun selain pengurangan tawaran kompaun kesalahan lalu lintas sebanyak 50 peratus dari 18 Jun hingga 18 Julai
“Tiket menaiki bot percuma di kawasan rekreasi Gunung Lang pula diberikan selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Jun ini,” menurut kenyataan itu.
MBI memaklumkan orang ramai juga ditawarkan menggunakan kemudahan secara percuma di Kompleks Sukan MBI selama tiga hari berturut-turut bermula 19 Jun.
Selain itu, turut diadakan Karnival Jualan Murah di pasar raya terpilih sekitar Ipoh bermula 26 Jun hingga 3 Julai depan dengan karnival pelancaran Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh ke-38 akan diadakan di Pusat Konvensyen Ipoh di sini pada 18 Jun ini.
"Pelbagai program menarik turut disusun sempena sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Ipoh ke-38 antaranya larian, ceramah agama, karnival, kolokium, jualan rahmah, pop up market dan banyak lagi.
“Orang ramai bersama keluarga dijemput menyertai serta memeriahkan sambutan tersebut,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA