DUNIA
Nahas Air India: Cerita Penumpang 11A, satu-satunya mangsa terselamat

Vishwash Kumar Ramesh merupakan satu-satunya penumpang yang terselamat dalam nahas pesawat Air India yang terhempas di bandar Ahmedabad, pada Khamis.
NEW DELHI: Nombor 11A. Itu kerusi yang diduduki Vishwash Kumar Ramesh dalam pesawat malang Air India yang terhempas di bandar Ahmedabad.
Menurut laporan Hindustan Times, Ramesh menjadi satu satunya mangsa yang terselamat dalam insiden meragut lebih 240 nyawa itu.
“Selepas 30 saat berlepas, terdengar bunyi kuat dan kemudian pesawat itu terhempas. Semuanya berlaku dengan begitu pantas,” katanya dalam satu temu bual di hospital tempat beliau sedang dirawat.
Kata Ramesh, semasa nahas berlaku, dia dalam perjalanan pulang ke United Kingdom (UK) bersama abangnya, yang duduk di barisan berbeza.Dalam menahan sebak dan sedih, lelaki itu tertanya-tanya bagaimana nasib abangnya yang juga dalam pesawat sama.
Air India mengesahkan bahawa daripada 242 orang di dalam pesawat tersebut, 241 telah meninggal dunia, menjadikan Ramesh satu-satunya yang terselamat.
Menurut laporan CNN, seorang doktor yang merawatnya mengesahkan keadaan Ramesh
“tidak terlalu kritikal” dan dia mungkin akan dibenarkan keluar dalam beberapa hari lagi.
“Ramesh mengalami sedikit pendarahan berdasarkan imej, tetapi tidak mengalami kecederaan serius. Dia berada dalam keadaan selesa dan di bawah pemerhatian ketat, tiada masalah,” kata Dr Rajnish Patel, profesor dan ketua jabatan pembedahan di Hospital Awam Ahmedabad.
Media India turut berkongsi gambar pas masuk Ramesh, yang menunjukkan beliau duduk di tempat 11A, barisan pintu kecemasan, betul-betul di hadapan sayap kiri pesawat.
CNN belum dapat mengesahkan kesahihan gambar tersebut secara bebas. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami