DUNIA
NATO sepatutnya dibubarkan pada 1990 - Jeffrey Sachs

Sachs turut menyuarakan keraguan terhadap kemampuan Eropah membentuk kerangka keselamatan bebas bagi menggantikan NATO.
NEW YORK: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sepatutnya dibubarkan pada 1990 kerana pakatan itu sudah pun menyempurnakan misinya menentang Kesatuan Soviet, kata ahli ekonomi terkemuka Amerika Syarikat dan Pengarah Pusat Pembangunan Mampan di Universiti Columbia, Jeffrey Sachs dalam wawancara bersama RIA Novosti.
Ringkasan AI
- Jeffrey Sachs menyatakan NATO sepatutnya dibubarkan pada 1990 selepas kejatuhan Kesatuan Soviet dan pembubaran Pakatan Warsaw, namun sebaliknya ia menjadi alat peluasan kuasa Amerika Syarikat yang bertentangan dengan janji Barat.
- Sachs meragui kemampuan Eropah membentuk kerangka keselamatan bebas menggantikan NATO kerana ketiadaan kesatuan sebenar dalam kalangan negara Eropah yang sering bertelagah sesama sendiri.
- Beliau turut merujuk kenyataan Presiden Rusia Vladimir Putin bahawa Rusia berpotensi menyertai NATO pada awal 2000-an jika Amerika Syarikat menunjukkan minat, namun sikap dingin Presiden Bill Clinton ketika itu menggagalkan peluang tersebut, dan hasrat Ukraine menyertai NATO menjadi antara punca konflik Rusia-Ukraine.
"Pertama sekali, NATO sepatutnya berakhir pada 1990 apabila Presiden Gorbachev menamatkan Pakatan Warsaw.
"Ketika itu negara-negara Barat seharusnya berkata ya, dan kita bubarkan NATO.
"Sebaliknya, ia berubah menjadi mekanisme peluasan kuasa Amerika Syarikat, sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
"Gerakan NATO ke arah timur sejak 1990 sama sekali tidak wajar dan bertentangan dengan janji-janji Barat," katanya.
Sachs turut menyuarakan keraguan terhadap kemampuan Eropah membentuk kerangka keselamatan bebas bagi menggantikan NATO.
"Masalah Eropah ialah seperti semua orang tahu, sebenarnya tiada sebuah 'Eropah' yang bersatu.
"Terlalu banyak negara yang sering bertelagah antara satu sama lain," katanya sambil menekankan bahawa benua itu sudah berperang sesama sendiri selama 1,000 tahun.
Pada Februari 2024, Presiden Rusia Vladimir Putin berkata dalam wawancara bersama wartawan AS, Tucker Carlson, bahawa Rusia berpotensi menjadi anggota NATO pada awal 2000-an jika AS benar-benar menunjukkan minat.
Namun, menurut Putin, Presiden Bill Clinton ketika itu "bersikap dingin" terhadap idea itu.
Hasrat Ukraine untuk menyertai pakatan itu turut menjadi antara sebab Rusia mendakwa melancarkan operasi ketenteraan khas pada Februari 2022.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami