AL ULA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata, negara-negara Arab berminat untuk meneruskan normalisasi hubungan dengan Israel namun mereka memerlukan laluan yang jelas ke arah penubuhan negara Palestin.

Perkara itu dinyatakan Blinken selepas pertemuannya dengan pemimpin negara-negara Arab sejak beberapa hari lalu.

Katanya, terdapat minat yang jelas di rantau Arab untuk meneruskan normalisasi.

Namun negara-negara ini meletakkan syarat mahu konflik di Gaza ditamatkan dengan wujudnya laluan jelas ke arah penubuhan negara Palestin.

Empat negara Arab telah merasmikan hubungan dengan Israel dalam pakatan yang dikenali sebagai Perjanjian Abraham iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi.

Rundingan AS bertujuan mencapai perjanjian menormalkan hubungan antara Israel dan Arab Saudi yang dihentikan apabila konflik Gaza meletus pada Oktober.

Blinken sebelum itu bertemu dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman di bandar Oasis Al Ula pada Isnin.

Beliau berkata, mereka membincangkan masa depan rantau itu dan terdapat persetujuan luas mengenai beberapa objektif.

Antaranya termasuklah Tebing Barat dan Gaza harus bersatu di bawah tadbir urus Palestin dan rantau itu perlu berusaha ke arah menormalkan hubungan, bukan perpecahan atau konflik.

Untuk itu berlaku, kata Blinken, ia perlu melihat penubuhan negara Palestin yang merdeka.

Blinken sedang dalam rangka lawatan keempatnya ke rantau itu sejak Oktober dan mengadakan lebih banyak rundingan dengan pemimpin Arab.

Ini sebahagian daripada usaha diplomatik untuk menghentikan perang di Gaza terus merebak.

Blinken dijadualkan menamatkan lawatannya di Israel, dengan pertemuan dengan para pegawai pada Selasa.

Blinken akan menyampaikan maklumat yang diperoleh daripada pertemuannya dengan pemimpin Arab dan pada masa sama membincangkan masa depan kempen ketenteraan Israel di Gaza.