KUALA LUMPUR: Negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel perlu berani mengambil tindakan segera dengan memutuskan hubungan dengan negara tersebut.

Pengarah Institut Kecemerlangan Pengajian Baitulmaqdis, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Aminurraasyid Yatiban berkata, dunia perlu berani dan tidak lagi tertakluk kepada dominasi negara Barat, termasuk Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, negara-negara seperti Mesir dan Turki perlu lebih berani dalam mengambil tindakan, bagi menunjukkan solidariti mereka bersama Palestin.

Beliau turut mencadangkan negara yang tiada hubungan dengan Israel tetapi ada duta dari AS dalam negara mereka untuk memanggil duta tersebut dan menyatakan pendirian tegas dalam kekejaman rejim Zionis.

“Mesir perlu berani. Turki juga ada hubungan diplomatik dengan Israel…perlu putuskan. Bukan sekadar memanggil duta mereka balik dan berbincang.

“Ini bukan masa untuk berbincang. Ini masa untuk ambil tindakan. Begitu juga negara-negara yang tiada hubungan diplomatik (dengan Israel), tapi ada duta AS dalam negara mereka.

“Kita (Malaysia) mungkin menerima nota demarche dari AS tapi sebagai negara yang ada kedaulatan sendiri dan ada pendirian tegas dalam hal membabitkan Israel, ktia sampai sekarang tidak iktiraf negara haram Israel,” katanya.

Tambah beliau, dunia harus terus bersolidariti bersama rakyat Palestin, sehingga mereka mendapat hak sepatutnya dan sehingga merdeka, bukan hanya ketika perang.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru di Astro AWANI.

Negara Islam, putuskan segera hubungan diplomatik dengan Israel - Penganalisis