PUTRAJAYA: Dalam usaha pulih daripada COVID-19, negara-negara Komanwel perlu mengambil tindakan secara kolektif untuk mengurangkan jurang digital di antara negara-negara maju dan membangun.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah juga menggariskan keperluan sektor awam dan swasta untuk terus menggunakan teknologi digital, yang telah digunakan secara meluas semasa perintah berkurung akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata demikian di Mesyuarat Ke-21 Menteri-Menteri Luar Komanwel (CFAMM) pada Khamis yang diadakan secara maya.

Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Elizabeth Truss, Menteri Wanita dan Kesaksamaan dan Setiausaha Luar, Hal Ehwal Komanwel dan Pembangunan United Kingdom yang juga merupakan Pengerusi Komanwel.

Saifuddin juga menyeru negara-negara Komanwel supaya menjalinkan rantaian kerjasama dalam usaha pemulihan COVID-19 melalui diplomasi kesihatan.

Beliau juga menekankan pentingnya pengedaran vaksin COVID-19 secara adil, mudah diakses dan pada harga yang berpatutan bagi semua negara Komanwel. Ini perlu dilaksanakan selaras dengan prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik.

Mengenai kesan perubahan iklim, Saifuddin mengimbas kembali Deklarasi Langkawi mengenai Alam Sekitar yang dipersetujui oleh Ketua-ketua Negara Komanwel pada 1989 yang bertujuan melindungi alam sekitar dan menangani kesan perubahan iklim.

Beliau menggesa pihak Komanwel agar komited dan terus menperjuangkan isu-isu perubahan iklim menjelang Persidangan Ke-26 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26).

CFAMM membincangkan isu-isu Komanwel seperti pelaksanaan mandat Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel 2018, isu-isu global semasa yang mempengaruhi Komanwel, taklimat mengenai hal-hal perselisihan persempadanan dan initiatif - initiatif yang telah dilaksanakan oleh Sekretariat Komanwel.

-- BERNAMA