Negara Teluk Arab gesa AS tidak lancarkan serangan ke atas Iran

Sebarang usaha ketenteraan untuk menggulingkan kerajaan Iran dibimbangi boleh menjejaskan penghantaran minyak global melalui Selat Hormuz. - Gambar fail/Reuters
ANKARA: Negara-negara Arab yang bersempadan dengan Teluk Parsi (atau disebut Teluk Arab) menggesa Amerika Syarikat (AS) agar tidak melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran, sambil memberi amaran bahawa tindakan sedemikian boleh mencetuskan ketidakstabilan ekonomi dan politik di seluruh rantau itu, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik laporan media pada Selasa.
Arab Saudi, bersama Oman dan Qatar, dilaporkan melakukan gesaan secara tertutup kepada pentadbiran Trump selepas White House meminta mereka bersiap sedia menghadapi kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Tehran, menurut laporan Wall Street Journal.
Menurut pegawai Teluk Arab, sebarang usaha ketenteraan untuk menggulingkan kerajaan Iran boleh menjejaskan penghantaran minyak global melalui Selat Hormuz, laluan air strategik yang menampung kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia.
Mereka turut bimbang akan risiko tindak balas domestik, tekanan ekonomi dan kemungkinan serangan balas sekiranya pasukan AS bertindak.
Arab Saudi, yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan Visi 2030 untuk mempelbagaikan ekonominya, melihat kestabilan serantau sebagai syarat penting. Penganalisis berpendapat negara-negara Teluk lebih memilih pembaharuan domestik di Iran berbanding kejatuhan rejim, menurut laporan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


