Netanyahu akan adakan mesyuarat 'penentu' fasa kedua gencatan senjata Khamis ini - Laporan

Mesyuarat tersebut dijangka melibatkan pegawai kanan keselamatan dan tentera Israel. - Foto fail/REUTERS
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dijangka mengadakan mesyuarat penting pada Khamis ini bagi membincangkan pelaksanaan fasa kedua gencatan senjata di Gaza, menurut laporan media Israel.
Mesyuarat itu dilihat sebagai langkah penentu dalam menentukan hala tuju rundingan seterusnya antara Israel dan Hamas, selepas fasa pertama gencatan senjata yang menyaksikan pertukaran tahanan dan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Menurut laporan Al Jazeera, mesyuarat tersebut dijangka melibatkan pegawai kanan keselamatan dan tentera Israel, dengan fokus utama kepada syarat-syarat lanjutan gencatan senjata serta kemungkinan pembebasan baki tebusan yang masih ditahan oleh Hamas.
Netanyahu sebelum ini menyatakan bahawa fasa pertama hampir selesai dan fasa kedua dijangka lebih mencabar, termasuk isu-isu berkaitan keselamatan dan tekanan dalaman daripada pihak berkepentingan politik serta keluarga tebusan.
Sementara itu, situasi kemanusiaan di Gaza terus meruncing dengan lebih 70,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak konflik bermula pada Oktober 2023.
PBB dan pelbagai pertubuhan antarabangsa terus mendesak agar bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk tanpa halangan.
Mesyuarat Khamis ini dijangka menjadi titik tolak penting dalam menentukan sama ada gencatan senjata dapat diteruskan atau konflik akan kembali memuncak.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

