TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa, Iran pernah cuba membunuh salah seorang anak lelakinya, namun, tidak mendedahkan butiran mengenai bila rancangan itu didakwa berlaku, anak yang menjadi sasaran atau sejauh mana percubaan tersebut hampir dilaksanakan.
Dakwaan itu disuarakan Netanyahu pada Isnin ketika ketegangan antara Israel dan Iran terus memuncak susulan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran yang bermula pada Februari lalu.
Netanyahu, yang gabungan pemerintahannya kini ketinggalan dalam tinjauan pendapat menjelang pilihan raya umum Israel pada 27 Oktober ini, membuat dakwaan tersebut dalam wawancara telefon bersama saluran televisyen Channel 14.
Beliau mengulas laporan media yang menyatakan sebuah agensi keselamatan Israel enggan menyediakan perlindungan keselamatan kepada seorang pesaing politiknya menjelang pilihan raya berkenaan.
“Berkaitan anak-anak saya, ada sesuatu yang sukar dipercayai. Ya, Iran menyasarkan salah seorang anak saya. Iran cuba membunuh anak saya,” dakwa Netanyahu kepada saluran konservatif yang dikenali kerana liputannya yang mesra kerajaan.
“Iran cuba membunuh salah seorang anak saya. Oleh itu, perlindungan keselamatan ini bukan satu kemewahan,” katanya lagi tanpa memberikan sebarang perincian lanjut mengenai dakwaan tersebut.
Tidak dapat dipastikan anak mana yang dimaksudkan Netanyahu.
Anak sulungnya, Yair Netanyahu, kini menetap di Miami, Amerika Syarikat.
Sehingga kini, misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York belum mengeluarkan sebarang maklum balas terhadap tuduhan itu.
Dalam wawancara sama, Netanyahu berkata, beliau telah memaklumkan Ketua Agensi Keselamatan Shin Bet, David Zini, supaya perlindungan keselamatan yang sewajarnya diberikan kepada mana-mana calon perdana menteri.
Sebelum ini, media Israel melaporkan, Zini enggan menyediakan perlindungan keselamatan kepada Gadi Eisenkot dan memaklumkan kepada pihak berkuasa pilihan raya negara itu bahawa tiada sebarang komplot untuk mencederakan tokoh politik berkenaan.
Menurut unjuran semasa, parti Eisenkot dijangka memperoleh jumlah kerusi terbesar dalam pilihan raya akan datang.
Namun, kerajaan Israel lazimnya dibentuk menerusi gabungan beberapa parti dan bukannya oleh satu parti yang memperoleh majoriti mutlak di Parlimen. - Agensi