TEL AVIV: Tentera Israel ketika ini sedang giat membuat persiapan untuk melancarkan serangan darat ke atas Semenanjung Gaza, dedah Benjamin Netanyahu.

Bagaimanapun, tegas Perdana Menteri Israel itu, beliau tidak dapat berkongsi mengenai masa atau maklumat lanjut mengenai operasi yang dikritik banyak pihak itu.

Menurutu Netanyahu, keputusan bila masanya untuk melancarkan serangan darat ke atas wilayah Palestin yang ingin ditakluki Israel itu akan dibuat oleh Kabinet Perang Israel.

"Kami telah membunuh ribuan pengganas dan ini hanya permulaan," kata Netanyahu dalam kenyataan yang disiarkan secara langsung di televisyen.

"Saya tidak akan menjelaskan persiapan yang kami lakukan, yang sebahagian besar tidak diketahui masyarakat dan memang begitu seharusnya," tegas beliau.

Israel telah melakukan pengeboman intensif di Semenanjung Gaza susulan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas negara zionis iktu sehingga menyebabkan 1,400 rakyat Israel terkorban.

Serangan balas Israel melalui udara ke atas Hamas pula telah mengorbankan lebih 6,500 rakyat Palestin. - Agensi