Skip to main content

Dunia

Netanyahu pertahan dana Qatar ke Gaza, bangga serangan ke atas Doha

Sumber: REUTERS
Netanyahu menyifatkan Qatar sebagai sebuah negara yang "bermusuhan" dan menegaskan negara itu tidak pernah menentukan dasar Israel sepanjang perang di Gaza. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mempertahankan dana yang disalurkan Qatar ke Gaza sambil menyatakan ia digunakan bagi tujuan kemanusiaan, selain mengulangi bahawa Israel pernah melancarkan serangan ke atas Qatar ketika konflik di Gaza.

Dalam wawancara dengan i24NEWS yang dikongsi di media sosial pada Sabtu, Netanyahu menyifatkan Qatar sebagai sebuah negara yang "bermusuhan" dan menegaskan negara itu tidak pernah menentukan dasar Israel sepanjang perang di Gaza.

Beliau turut merujuk kepada serangan Israel ke atas Doha pada 9 September 2025 yang mengorbankan lima anggota Hamas dan seorang pegawai keselamatan Qatar ketika pertemuan berkaitan cadangan gencatan senjata Gaza yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Serangan itu sebelum ini dikecam Qatar sebagai pencabulan jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, turut menyifatkannya sebagai pelanggaran serius terhadap integriti wilayah Qatar.

Dalam wawancara sama, Netanyahu mempertahankan pemindahan berjuta-juta dolar dana Qatar ke Gaza yang difasilitasi oleh Israel, dengan berkata dana tersebut disalurkan atas saranan agensi keselamatan Israel, termasuk Mossad dan Shin Bet, bagi tujuan bantuan kemanusiaan.

Menurut beliau, jumlah dana itu hanya mewakili kira-kira dua peratus daripada keseluruhan dana yang memasuki Gaza.

Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan pengkritik kerajaan Israel bahawa sebahagian dana berkenaan digunakan Hamas untuk membuat persiapan menjelang serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Qatar bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan semua bantuan yang disalurkan ke Gaza tertakluk kepada pemantauan serta prosedur yang telus.

Kenyataan Netanyahu hadir beberapa minggu sebelum pilihan raya umum Israel pada 27 Oktober, ketika beliau berdepan tekanan politik berhubung pengendalian perang di Gaza, keadaan ekonomi negara dan konflik berterusan dengan Iran.

 

 

Must Watch Video

Advertisement