SATU foto yang memaparkan seorang anggota polis menenangkan seorang kanak-kanak di lokasi kemalangan maut di Colorado, Amerika Syarikat, menjadi perbualan netizen.

Lebih menyentuh hati, apabila anggota polis terbabit diberitakan menyanyikan lagu kanak-kanak "Twinkle Twinkle Little Star" demi memujuk kanak-kanak berusia dua tahun itu.

Kemalangan itu mengorbankan bapa kanak-kanak terbabit, manakala ibu serta empat kanak-kanak lain dalam kenderaan SUV itu cedera parah.
Pegawai polis terbabit, Nick Struck, memberitahu News Channel 4, apa yang dilakukan hanyalah satu tindakan biasa apabila mengetahui adanya kanak-kanak terbabit dalam kemalangan.

"Saya mempunyai seorang anak perempuan sebaya dengan kanak-kanak itu, dan apabila dia menangis, saya akan memujuknya dengan lagu 'Twinkle Twinkle Little Star'.

"Jadi apa yang saya lakukan adalah tindakan yang bermula dari naluri saya sebagai bapa," kata Struck.

Kemalangan itu berpunca dari tayar kenderaan itu yang meletup, dan kesemua penumpang dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan.