NEW YORK: Negeri New York mengisytiharkan darurat bencana susulan peningkatan kes campak yang membimbangkan di Amerika Syarikat (AS), ketika penyakit yang hampir dihapuskan itu kembali menular di beberapa negeri.
Gabenor New York, Kathy Hochul, pada Isnin mengumumkan langkah sementara bagi meluaskan kuasa petugas kesihatan untuk memberikan vaksin campak, beguk dan rubela (MMR).
Beliau berkata New York merekodkan 108 kes campak setakat 3 Oktober, dengan tujuh kes dilaporkan di New York City dan 101 kes di kawasan lain di negeri itu.
Perisytiharan darurat berkenaan akan berkuat kuasa hingga 4 November.
Menurut Hochul, sebanyak 92 kes direkodkan sejak 15 Julai di beberapa komuniti luar bandar yang mempunyai kadar vaksinasi rendah.
Di negeri jiran Pennsylvania, pihak berkuasa kesihatan memaklumkan jumlah kes campak tahun ini telah melepasi 1,000 kes, menjadikannya wabak terbesar di AS dalam tempoh tiga dekad. Penularan turut dilaporkan di Texas, Utah, Ohio dan Carolina Selatan.
Pakar kesihatan mengaitkan peningkatan semula penyakit itu dengan penurunan kadar vaksinasi di bawah paras 95 peratus yang diperlukan untuk menghalang penularan wabak.
AS sebelum ini berjaya menghapuskan penularan domestik campak pada tahun 2000, manakala wabak terakhir yang melibatkan lebih 1,000 kes berlaku di New York City pada awal 1990-an.
Pegawai Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) dijadual bermesyuarat pada November bagi menentukan sama ada AS dan Mexico masih boleh mengekalkan status bebas campak.
PAHO menegaskan liputan vaksinasi yang tinggi, pemantauan epidemiologi yang berkesan dan tindak balas pantas terhadap wabak adalah penting bagi mengekang penularan penyakit itu serta mengekalkan status bebas campak di rantau Amerika.