Skip to main content

Dunia

Nicki Minaj sertai pentas Trump di Michigan, jadi tumpuan kempen Republikan

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan penyanyi rap Nicki Minaj turun dari pesawat Air Force One di Pangkalan Pengawal Kebangsaan Udara Selfridge, Michigan, Amerika Syarikat, pada Ahad. - Gambar Reuters
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan penyanyi rap Nicki Minaj turun dari pesawat Air Force One di Pangkalan Pengawal Kebangsaan Udara Selfridge, Michigan, Amerika Syarikat, pada Ahad. - Gambar Reuters

Advertisement

MICHIGAN: Penyanyi rap terkenal Hollywood, Nicki Minaj, mencuri perhatian apabila tampil bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada satu perhimpunan politik di Michigan ketika pemimpin Republikan itu giat memperkukuh sokongan menjelang pilihan raya.

Minaj tiba di Michigan menaiki Air Force One sebelum dilihat berada berhampiran pentas bersama beberapa pemimpin Parti Republikan ketika Trump menyampaikan ucapannya.

Kemunculan itu mengukuhkan lagi kedudukan Minaj sebagai antara penyokong selebriti paling berprofil tinggi kepada Trump sejak penggal kedua pentadbirannya.

Penyanyi yang sebelum ini pernah mengkritik Trump itu kini kerap menghadiri acara bersama presiden berkenaan, khususnya bagi mempromosikan program Trump Accounts iaitu skim simpanan dan pelaburan untuk kanak-kanak.

Media tempatan melaporkan Minaj turut menyumbang antara AS$150,000 hingga AS$300,000 kepada dana berkenaan.

Pada Januari lalu, Minaj muncul di atas pentas bersama Trump ketika pelancaran Trump Accounts dan menyifatkan dirinya sebagai "mungkin peminat nombor satu presiden."

Beliau juga menegaskan kritikan terhadap sokongannya kepada Trump hanya mendorong dirinya untuk terus berdiri bersama pemimpin Republikan itu.

Sementara itu, Trump dalam satu acara lain berkaitan program sama pada Julai lalu memuji Minaj sebagai individu yang dihormati ramai.

"Dia seorang yang hebat dan dihormati semua orang," kata Trump.

Dalam perkembangan berkaitan, Trump turut mencetuskan perhatian ketika berucap pada perhimpunan sama apabila membuat komen mengenai penampilan fizikal Minaj.

Presiden AS itu pada mulanya bergurau mengenai Senator Ohio, John Husted, sebelum mengaitkan penyanyi rap berkenaan dalam ucapannya.

Trump kemudian meminta Minaj berdiri sebelum melontarkan pujian yang mencetuskan reaksi bercampur-baur dalam kalangan pemerhati politik dan pengguna media sosial.

Beliau bagaimanapun berkata kenyataannya itu tidak bermaksud menghina Minaj dan menegaskan penyanyi tersebut telah lama menyokong perjuangannya.

Trump selepas itu kembali memberi tumpuan kepada kempen Republikan di Michigan dan menyatakan beliau sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu calon-calon partinya mencapai kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

Kemunculan bersama antara Trump dan Minaj dilihat sebagai usaha kempen Republikan memanfaatkan pengaruh tokoh popular bagi mendekati kelompok pengundi muda serta meningkatkan daya tarikan kempen mereka menjelang hari pengundian. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement