Skip to main content

Dunia

Nissan kembali catat keuntungan suku tahunan, kurangkan ramalan jualan kenderaan

81741339629_Nissan.jpg
Nissan Motor kembali mencatatkan keuntungan pada suku pertama pada Isnin berikutan perolehan yang lebih tinggi, namun bertindak mengurangkan ramalan jualan kenderaan bagi setahun penuh ekoran persekitaran perniagaan yang lebih mencabar di China.
Advertisement

TOKYO: Pengeluar kenderaan Jepun, Nissan Motor kembali mencatatkan keuntungan pada suku pertama pada Isnin berikutan perolehan yang lebih tinggi, namun bertindak mengurangkan ramalan jualan kenderaan bagi setahun penuh ekoran persekitaran perniagaan yang lebih mencabar di China, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pendapatan bersih yang boleh diagihkan kepada pemilik syarikat induk berjumlah 3.8 bilion yen (AS$24 juta), berbanding kerugian bersih 115.8 bilion yen (AS$735 juta) bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Keuntungan operasi mencatatkan 77.9 bilion yen (AS$495 juta), berbanding kerugian kendalian 79.1 bilion yen (AS$502 juta) bagi tempoh sama tahun terdahulu, manakala margin kendalian meningkat kepada 2.6 peratus berbanding negatif 2.9 peratus.

Perolehan meningkat kepada 2.964 trilion yen (AS$18.8 bilion) daripada 2.707 trilion yen (AS$17.2 bilion) bagi tempoh sama setahun lepas.

Nissan menurunkan unjuran jualan kenderaan global bagi tahun fiskal 2026 kepada 3.15 juta unit berbanding 3.3 juta unit sebelumnya, berikutan persekitaran perniagaan yang lebih mencabar di China.

Syarikat itu memaklumkan, ia terus berdepan rintangan luaran, termasuk kos bahan mentah yang lebih tinggi dan ketidakpastian geopolitik, tetapi ia menjangkakan kadar pertukaran mata wang asing yang menyebelahinya, keuntungan satu kali yang dicatatkan pada suku pertama serta faktor-faktor lain dapat membantu mengurangkan sebahagian daripada tekanan berkenaan.

Nissan mengesahkan semula prospek kewangan tahun fiskal 2026 dan menyatakan ia kekal berada di landasan betul untuk melaksanakan pelan pemulihannya menerusi pengurangan kos secara berterusan serta langkah memperkukuh daya saing.

“Persekitaran kekal mencabar, terutamanya di China dan Asia Barat, namun hala tuju kami adalah jelas. Kami menguruskan gangguan yang wujud, membina momentum di kawasan yang mempunyai peluang, dan melaksanakan “Re:Nissan” dengan penuh disiplin serta keperluan yang segera,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Ivan Espinosa, merujuk kepada pelan pemulihan berkenaan.

Di China, Nissan berkata, ia memulihkan imbangan perniagaannya menerusi pengurusan inventori yang lebih ketat, mempercepat pengenalan kenderaan tenaga baharu (NEV) termasuk model N6, N7, NX8 dan Frontier Pro, serta meluaskan pasaran ke luar negara.

Syarikat itu memaklumkan bahawa strategi berkenaan bakal memperkukuh perniagaan bagi mencapai pertumbuhan bermula tahun fiskal 2027.

-- BERNAMA-dpa 

 

 

Must Watch Video

Advertisement