Skip to main content

Malaysia

Pembiayaan berkualiti pacu daya saing PKS, tingkat gaji pekerja – Akmal Nasrullah

Akmal Nasrullah berucap pada majlis pelancaran Malaysia Economic Monitor (MEM) edisi ke-33 bertajuk ‘From Quantity to Quality: Financing Malaysia’s Productive SMEs’ anjuran Bank Dunia di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI
Akmal Nasrullah berucap pada majlis pelancaran Malaysia Economic Monitor (MEM) edisi ke-33 bertajuk ‘From Quantity to Quality: Financing Malaysia’s Productive SMEs’ anjuran Bank Dunia di sini, hari ini. - Foto Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Kerajaan komited memperkukuh kualiti pembiayaan kepada PKS bagi meningkatkan daya saing global, gaji lebih tinggi dan pekerjaan berkualiti.
  • Bank Dunia mencadangkan penilaian aset cagaran diperluas, kerana kebergantungan kepada hartanah mengehadkan akses pinjaman bagi firma tempatan.
  • Laporan Bank Dunia menunjukkan kadar kelulusan pinjaman PKS meningkat kepada 86 peratus pada 2024, namun pembiayaan masih banyak bergantung kepada hutang bank.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu memperkukuh kualiti pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan daya saing firma tempatan di peringkat global, selain membolehkan pekerja menikmati gaji lebih tinggi dan pekerjaan berkualiti.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, meskipun Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik, cabaran struktur masih perlu ditangani bagi memastikan PKS berupaya mengembangkan perniagaan serta meningkatkan produktiviti.

Menurutnya, isu utama bukan lagi sekadar memastikan firma mendapat akses kepada kredit, sebaliknya memastikan pembiayaan yang disediakan memenuhi keperluan pelaburan dan perkembangan perniagaan.

Advertisement

“Isu sebenarnya adalah kualiti dana yang disalurkan. Ia bukan sekadar mengenai bagaimana firma mendapatkan kredit, tetapi bagaimana memastikan firma kita kekal berdaya saing di peringkat global.

“Terutamanya dalam memastikan peningkatan produktiviti yang akhirnya dapat diterjemahkan kepada gaji lebih tinggi dan pekerjaan berkualiti,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Malaysia Economic Monitor (MEM) edisi ke-33 bertajuk ‘From Quantity to Quality: Financing Malaysia’s Productive SMEs’ anjuran Bank Dunia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata kerajaan mengambil maklum cadangan Bank Dunia, termasuk keperluan memperluas penilaian aset yang boleh dipertimbangkan sebagai cagaran bagi mendapatkan pembiayaan.

Katanya, kebergantungan kepada cagaran konvensional seperti hartanah boleh mengehadkan peluang firma mendapatkan pinjaman, meskipun mereka mempunyai aset lain yang berpotensi dijadikan sandaran.

“Antara masalah untuk mendapatkan pinjaman ialah keperluan cagaran yang lazimnya memerlukan hartanah sebagai sandaran.

“Sedangkan firma juga mempunyai aset lain yang wajar dipertimbangkan, seperti mesin dan akaun belum terima, bagi melengkapkan pilihan pembiayaan yang tersedia,” katanya.

Beliau berkata, mekanisme pembiayaan juga perlu dilaksanakan secara lebih telus bagi memastikan firma mendapat kemudahan kewangan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan Bank Dunia itu mendapati kira-kira 38 peratus firma di Malaysia mempunyai pinjaman atau kemudahan kredit, manakala kadar kelulusan pinjaman meningkat daripada sekitar 68 peratus pada 2015 kepada 86 peratus pada 2024.

Bagaimanapun, laporan sama mendapati PKS masih membiayai kira-kira dua pertiga daripada pelaburan aset tetap menggunakan dana dalaman, manakala pembiayaan luaran banyak bergantung kepada hutang bank dengan akses terhad kepada ekuiti dan bentuk modal berisiko lain.

Bank Dunia turut menekankan bahawa kekangan pembiayaan boleh menjejaskan keupayaan firma melaksanakan pelaburan inovatif, meningkatkan produktiviti dan mengembangkan operasi.

Akmal Nasrullah berkata pendekatan memperkukuh kualiti pembiayaan itu selari dengan aspirasi kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), khususnya dalam mempertingkat produktiviti serta daya saing ekonomi negara.

Sementara itu, beliau berkata ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan apabila berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026, manakala anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pertumbuhan 5.3 peratus pada suku ketiga.

Bank Dunia turut menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026 kepada 5.1 peratus, meningkat 0.7 mata peratusan berbanding unjuran terdahulu.

Malaysia Economic Monitor merupakan penerbitan berkala Bank Dunia yang menyediakan penilaian mengenai perkembangan dan prospek ekonomi Malaysia, selain analisis mendalam terhadap cabaran utama pembangunan negara.

Edisi ke-33 itu memberi tumpuan kepada peranan instrumen pembiayaan dalam membantu PKS mengatasi kekangan pelaburan, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh keupayaan untuk berkembang.

Must Watch Video

Advertisement