Ringkasan AI
- Nvidia dan CEO Jensen Huang disaman pemegang saham atas dakwaan gagal dedah hubungan peribadi Huang dengan bekas eksekutif Megaspeed.
- Lembaga pengarah Nvidia mengumumkan siasatan bebas terhadap Huang selepas laporan operasi perisikan asing dan isu keselamatan negara.
- Plaintif mendakwa kegagalan dedah maklumat penting menyebabkan harga saham Nvidia meningkat tidak wajar, sebelum jatuh 4.27 peratus selepas pendedahan.
ANKARA: Syarikat pengeluar cip Amerika Syarikat (AS), Nvidia dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Jensen Huang berdepan saman daripada pemegang saham atas dakwaan mengelirukan pelabur kerana gagal mendedahkan hubungan peribadi Huang dengan seorang bekas eksekutif Megaspeed, menurut dokumen mahkamah yang difailkan pada Isnin.
Tindakan undang-undang itu menyusul selepas lembaga pengarah Nvidia pada Ahad mengumumkan siasatan bebas terhadap Huang berikutan laporan bahawa beliau menjadi sasaran operasi perisikan asing, lapor Anadolu Ajansi.
Saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di California itu mendakwa Nvidia dan Huang melanggar Akta Bursa Sekuriti 1934.
Saman yang difailkan oleh pemegang saham Mark Kistenmacher melalui firma guaman The Rosen Law Firm itu mewakili pelabur yang membeli atau memperoleh sekuriti Nvidia antara 9 Okt 2025 hingga 8 Nov 2026.
Menurut saman itu, Nvidia didakwa mengelirukan pelabur apabila menyatakan bahawa siasatan dalaman tidak menemukan bukti cip keluarannya disalurkan ke pihak lain, manakala Huang menyifatkan urusan syarikat dengan Megaspeed International yang berpangkalan di Singapura sebagai "normal".
Plaintif mendakwa kenyataan itu tidak mendedahkan hubungan peribadi Huang dengan Alice Huang, bekas eksekutif Megaspeed yang disyaki mengumpul maklumat perisikan bagi pihak China.
Saman itu turut mendakwa Nvidia dan Huang menyembunyikan maklumat mengenai isu keselamatan negara yang boleh menjejaskan reputasi dan masa depan perniagaan syarikat.
Plaintif juga mendakwa kenyataan syarikat serta kegagalan mendedahkan maklumat penting menyebabkan harga saham Nvidia meningkat secara tidak wajar sepanjang tempoh berkenaan.
Dokumen mahkamah menunjukkan saham Nvidia ditutup rendah 4.27 peratus pada US$178.67 pada Isnin susulan pendedahan berkenaan.
Plaintif menuntut pampasan bagi pihak pelabur yang terjejas, namun jumlahnya tidak dinyatakan.
Sementara itu, Nvidia memaklumkan bahawa siasatan berkenaan akan dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa pengarah bebas dengan bantuan penasihat undang-undang luar.
Menurut syarikat itu, Huang menyokong siasatan berkenaan dan bersedia memberikan kerjasama.
Nvidia berkata lembaga pengarahnya setakat ini tidak mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa keselamatan negara AS atau maklumat sulit syarikat telah terjejas, namun siasatan akan meneliti semua maklumat yang ada.
Lembaga pengarah turut menyatakan keyakinan terhadap Huang dan pasukan pengurusannya serta akan memberikan perkembangan lanjut apabila perlu.
Akhbar The New York Times dan Financial Times sebelum ini melaporkan dakwaan bahawa Alice Huang bekerja untuk agensi perisikan China.
Dakwaan itu menimbulkan persoalan mengenai hubungan peribadi ketua Nvidia berkenaan serta kemungkinan kesannya terhadap syarikat.
Bagaimanapun, China pada Isnin menolak dakwaan itu.
Jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun pada sidang media di Beijing menyifatkan dakwaan pengintipan berkenaan sebagai spekulasi tidak berasas.
Siasatan itu turut memberi tumpuan kepada kepimpinan Nvidia, antara syarikat utama dalam industri kecerdasan buatan (AI) global.
Cip keluaran Nvidia digunakan secara meluas dalam sistem pengkomputeran bagi pembangunan dan pengendalian model AI.
-- BERNAMA-ANADOLU