KUALA LUMPUR: Malaysia 4IR Consortium (My4IRC) akan menganjurkan Sidang Kemuncak Industri 4.0 yang ketiga di Universiti Malaya-Wales (UM-Wales), di sini mulai esok hingga Khamis ini untuk memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan mempercepat transformasi digital negara.
Pengerusi My4IRC Prof Datuk Dr Omar Osman berkata sidang kemuncak itu akan mengetengahkan keperluan bagi organisasi menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat dan cabaran ekonomi global demi mengekalkan daya saing.
"Sidang kemuncak itu akan menyediakan platform untuk menggalakkan kerjasama, pertukaran pengetahuan dan penyelesaian praktikal dalam mengurus rantaian bekalan, kecerdasan buatan (AI), inovasi digital dan kemampanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah akan merasmikan sidang kemuncak berkenaan esok, diikuti dengan pembentangan tentang daya tahan rantaian bekalan dan kemampanan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perbincangan juga akan merangkumi automasi rantaian bekalan, pengoptimuman logistik, kemampanan dan inovasi perkhidmatan yang berfokuskan pelanggan, di samping satu forum berkenaan peranan wanita dalam AI.
Hari kedua sidang kemuncak itu pula akan menumpukan peralihan tenaga, pendigitalan, AI dan keperluan tenaga kerja masa depan, dengan perbincangan turut menyentuh aspek Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kompetensi digital.
Sesi meja bulat industri, iaitu MTDC Sandbox Innovation dan perbincangan santai mengenai kemampanan dan operasi yang bersedia menghadapi masa depan juga dijadualkan berlangsung sebagai sebahagian daripada sidang kemuncak itu.
Program tersebut akan menyaksikan pelancaran Xcelerator @ UM-Wales yang akan disempurnakan oleh puteri kepada Sultan Pahang, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Omar berkata My4IRC berharap perbincangan pada sidang kemuncak itu akan membuahkan hasil yang nyata, termasuk jalinan kerjasama industri–akademia, memorandum persefahaman, inisiatif penggunaan teknologi dan program pembangunan tenaga kerja.
Beliau berkata konsortium itu juga berusaha meluaskan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat dan penerapan teknologi.
Bertemakan “Driving Supply Chain and Service Excellence Through Innovation and Technology”, sidang kemuncak dua hari itu dijangka menarik lebih 300 peserta daripada sektor kerajaan, industri, akademia dan teknologi.
Pendaftaran untuk sidang kemuncak berkenaan dibuka menerusi https://tinyurl.com/My4IRCSummit2026.
-- BERNAMA