Seorang remaja yang nyaris maut kerana ketagihan vape bertindak memfailkan saman ke atas syarikat pengeluar terkemuka rokok elektronik itu.

Adam Hergenreder memfailkan saman itu di Mahkamah Daerah Circuit, Chicago melalui peguam bela Antonio Romanucci.

Antara lain, saman 85 halaman itu mendakwa syarikat pengendali vape itu dengan sengaja mensasarkan remaja seperti Adam untuk tujuan mengelirukan, sebagai contoh vape boleh membantu meningkat status sosial.

Malah, saman turut mendakwa bahawa syarikat berkenaan tidak menyenaraikan sepenuhnya isi kandungan dalam vape, termasuk dadah berbahaya.


Sementara itu, Adam, yang kini pulih berkata dia masih mengalami masalah penafasan terutamanya semasa mendaki dan menari.

Tiada sebarang reaksi segera daripada syarikat pengeluar vape berkenaan berhubung tindakan saman remaja itu.

Syarikat itu, yang berpangkalan di San Francisco, sebelum ini menegaskan bahawa rokok elektronik dikeluarkan sebagai pilihan kepada remaja untuk mencuba sesuatu di luar kebiasaan iaitu rokok tembakau.

Adam, sebelum ini terlantar di hospital dan nyaris maut apabila paru-parunya terjejas teruk akibat ketagihan melampau kepada vape.

Doktor menyatakan bahawa paru-parunya kini berfungsi seperti individu berusia 70 tahun.

BACA: Remaja hidup dengan paru-paru 70 tahun akibat vape

Disebabkan kes Adam, pegawai kesihatan kini sedang menyiasat 450 kes penyakit paru-paru berkaitan vape di 33 lagi negeri di Amerika Syarikat.