INTERNATIONAL
OCHA beri amaran situasi orang awam di Gaza semakin parah

OCHA memberi amaran bahawa pergolakan di Gaza memberi kesan buruk kepada orang awam dan mengancam keselamatan mereka. -Gambar fail/AP
NEW YORK: Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) memberi amaran bahawa pergolakan yang berterusan di seluruh Semenanjung Gaza memberi kesan buruk kepada orang awam, mengancam keselamatan serta meragut peluang mereka untuk terus hidup, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Ringkasan AI
- OCHA memberi amaran bahawa pergolakan di Gaza memberi kesan buruk kepada orang awam dan mengancam keselamatan mereka.
- WHO melaporkan kemajuan terhad dalam pemindahan pesakit dari Gaza, dengan 12,500 pesakit masih menunggu untuk dipindahkan.
- Lebih 60,000 kanak-kanak di Gaza mengalami kekurangan zat makanan, dan usaha sedang dijalankan untuk menyatukan kanak-kanak yang terpisah daripada keluarga mereka.
OCHA menegaskan bahawa orang awam perlu dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa dan tidak seharusnya dijadikan sasaran, seperti dinyatakan oleh Timbalan Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Farhan Haq dalam taklimat media harian di New York pada Khamis.
Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan kemajuan terhad dalam proses pemindahan pesakit dari Gaza.
"Semalam, seramai 18 pesakit dan hampir 30 orang pengiring dibenarkan keluar bagi mendapatkan rawatan khusus di luar negara.
"Namun, sekitar 12,500 pesakit di Gaza masih menunggu untuk dipindahkan dan WHO menyeru agar semua laluan serta sempadan dibuka untuk tujuan itu," menurut WHO.
OCHA turut mengulangi keperluan membuka semula lintasan sempadan bagi membolehkan bekalan kritikal memasuki wilayah itu.
Dalam pada itu, Haq memaklumkan bahawa lebih 60,000 kanak-kanak kini dilaporkan mengalami kekurangan zat makanan, ketika dapur komuniti kehabisan bahan api dan bekalan makanan.
Rakan kongsi PBB juga mengenal pasti lebih 12 kanak-kanak yang terpisah daripada keluarga pada minggu ini.
"Usaha sedang giat dijalankan untuk menyatukan semula mereka dengan keluarga masing-masing," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami