MUSCAT: Tiga kapal tangki minyak diserang dalam insiden berasingan di luar pantai Oman pada Selasa, menyebabkan tiga anak kapal hilang dan enam lagi cedera, kata Pusat Keselamatan Maritim (OMSC) Oman, lapor Xinhua.
Dalam kejadian pertama, kapal tangki Stolt Magnesium diserang kira-kira 40 batu nautika dari Wilayah Gabenor Al Sharqiyah Selatan, di luar perairan wilayah Oman, mencetuskan kebakaran di dalam bilik enjin kapal itu, kata OMSC dalam satu kenyataan.
Kru kapal itu yang berjumlah 23 orang telah dipindahkan oleh kapal dagang berhampiran dan semuanya berada dalam keadaan sihat, katanya.
Dalam kenyataan kedua, OMSC berkata kapal tangki Mombasa B telah diserang kira-kira 8.5 batu nautika di luar pantai Wilayah Gabenor Musandam, menyebabkan kapal itu kehilangan kuasa enjin.
Seramai 21 krunya telah dipindahkan oleh sebuah kapal manakala enam mengalami kecederaan dalam pelbagai tahap keparahan.
Sebuah kapal Tentera Laut Diraja Oman sedang memantau keadaan, tambahnya.
Pusat itu juga melaporkan bahawa kapal tangki Al Bahyah telah dirempuh kira-kira 9.6 batu nautika dari Wilayah Gabenor Musandam.
Sebuah kapal Tentera Laut Diraja Oman telah dikerahkan ke tempat kejadian. 18 anak kapal dipindahkan, manakala operasi mencari tiga anak kapal yang hilang diteruskan.
ADNOC Logistics & Services, cabang perkapalan Syarikat Minyak Nasional Abu Dhabi, mengesahkan pada Selasa bahawa dua kapal tangki minyak mentah yang dikendalikan oleh syarikat itu, Al Bahyah dan Mombasa B, terkena peluru ketika transit di Selat Hormuz, menyebabkan seorang pelaut terbunuh dan beberapa lagi cedera.
Perkembangan itu berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) dan Iran berbalas serangan atas kawalan Selat Hormuz.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Oman menyeru supaya semua pihak menghormati undang-undang antarabangsa, memulihkan kebebasan pelayaran dan memastikan laluan selamat kapal komersial di selat itu.
-- BERNAMA-XINHUA