GENEVA: Majlis Menteri Itali meluluskan langkah keselamatan baharu yang memperluas peraturan tahanan pencegahan kepada golongan bawah umur serta memberi kuasa tambahan kepada polis tempatan, lapor Anadolu Ajansi memetik akhbar L'Unione Sarda pada Selasa.
Menurut laporan itu, langkah yang dikenali di Itali sebagai peraturan "anti-maranza", yang bertujuan menangani jenayah belia serta gangguan di jalanan telah dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang Keselamatan.
Di bawah langkah berkenaan, polis tempatan boleh melaksanakan tahanan pencegahan dengan kelulusan pihak pendakwa raya.
Menteri Dalam Negeri, Matteo Piantedosi berkata, apa yang disifatkannya sebagai "rejim tahanan pencegahan" itu kini diperluaskan kepada golongan bawah umur.
Beliau berkata, langkah itu boleh digunakan ketika operasi polis tertentu bagi mencegah jenayah yang mengancam ketenteraman awam di kawasan sesak, termasuk kawasan hiburan malam.
Menurut beliau, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan apabila terdapat "alasan munasabah untuk mempercayai" seseorang mungkin melakukan perbuatan yang boleh mengancam keselamatan awam, termasuk kes membabitkan "pemilikan senjata atau objek yang dalam apa jua cara menunjukkan seseorang itu berbahaya."
Menurut laporan itu, langkah berkenaan menyusuli insiden pada 2 Julai lepas di Colosseum apabila sekumpulan belia menyerang anggota polis dan merosakkan sebuah kenderaan polis.
-- BERNAMA-ANADOLU