SINGAPURA: Singapura akan bekerjasama rapat dengan Filipina bagi memastikan peralihan kepengerusian ASEAN tahun depan berjalan lancar, di samping memperkukuh perpaduan dan daya tahan blok itu dalam mendepani ketidaktentuan global yang semakin meningkat, kata Perdana Menteri, Lawrence Wong pada Rabu.
Wong merakamkan penghargaan kepada Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr atas kepimpinan Manila sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini semasa pertemuan mereka di Singapura.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Marcos atas kepimpinan Filipina sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini. Tahun depan giliran Singapura pula menjadi Pengerusi ASEAN," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya pada Rabu.
Marcos kini dalam rangka lawatan kerja ke Singapura dari 14 hingga 16 Julai.
Wong berkata, Singapura dan Filipina terus menikmati hubungan dua hala yang kukuh, dengan republik itu merupakan antara pelabur asing terbesar di Filipina.
"Terdapat potensi untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), selain ekonomi hijau dan digital.
"Kami juga membincangkan cara untuk mengukuhkan hubungan yang telah lama terjalin antara rakyat kedua-dua negara," katanya.
Filipina dijangka menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49 di Manila pada November 2026, yang turut menyaksikan majlis penyerahan rasmi kepengerusian ASEAN kepada Singapura.
-- BERNAMA