AMERIKA Syarikat (AS) dilaporkan menembak jatuh belon pengintip didakwa milik China yang melintasi ruang udara negara Uncle Sam itu pada Sabtu.

Belon yang dianggarkan sebesar tiga buah bas sekolah itu ditembak jatuh berhampiran Pantai Holden Utara Carolina, pada ketinggian kira-kira 60,000 kaki.

Sebagai persediaan untuk operasi itu, ruang udara di sepanjang Pantai Carolina ditutup sementara.

Difahamkan, operasi bagi mengutip serpihan belon tersebut sedang dijalankan di perairan wilayah AS di Lautan Atlantik.

Menurut dua pegawai yang dipetik agensi berita antarabangsa, belon tersebut dijatuhkan oleh pesawat pejuang Tentera Udara AS. 

Sementara itu, Presiden Joe Biden berkata beliau mengeluarkan arahan pada Rabu supaya belon itu dijatuhkan, tetapi Pentagon mengesyorkan supaya menunggu sehingga ia boleh dilakukan di atas kawasan air yang terbuka bagi melindungi orang awam daripada terkena serpihannya.

"Mereka berjaya menurunkannya, dan saya ingin memuji penerbang kami yang melakukannya," kata Biden ketika ditemui di Maryland pada Sabtu. 

BACA: Pentagon dakwa belon pengintip China berada di ruang udara AS

BACA: Belon pengintip: Setiausaha AS selar tindakan China

BACA: Belon pengintip: PBB bimbang ketegangan antara China-AS

Amerika Syarikat | Belon pengintip China ditembak jatuh

Menurut Reuters, beberapa pesawat pejuang terlibat dalam misi itu, tetapi hanya satu - jet pejuang F-22 dari Pangkalan Tentera Udara Langley di Virginia - yang melepaskan tembakan pada 2:39 petang waktu tempatan, menggunakan peluru berpandu supersonik AIM-9X. 

Belon itu dipercayai terbang di barat laut AS di mana terdapat pangkalan udara dan peluru berpandu nuklear bawah tanah.

Penemuan belon itu hanya beberapa hari sebelum lawatan Setiausaha Negara AS Antony Blinken ke China bagi menguruskan ketegangan yang semakin memuncak antara kedua-dua kuasa itu.