Ringkasan AI
- Lapan ekor orang utan dilepaskan ke habitat semula jadi di Borneo selepas diselamatkan daripada kebakaran hutan yang memusnahkan kawasan asal mereka.
- Kawasan perlindungan dipilih mempunyai sumber makanan dan air mencukupi serta bersambung dengan hutan lain untuk meningkatkan peluang kelangsungan hidup orang utan.
- Orang utan kini diklasifikasikan sebagai spesies terancam kritikal dengan hanya sekitar 104,000 ekor masih hidup di Borneo dan Sumatera.
JAKARTA: Lapan ekor orang utan dilepaskan semula ke habitat semula jadi mereka di Borneo selepas diselamatkan daripada kawasan yang terjejas akibat kebakaran hutan yang memusnahkan habitat haiwan berkenaan pada musim kemarau baru-baru ini.
Menurut International Animal Rescue Indonesia (Yiari) dan Kementerian Perhutanan Indonesia, tiga ibu orang utan bersama tiga anak betina serta dua jantan dewasa dilepaskan di sebuah kawasan perlindungan di barat pulau itu pada Jumaat.
Pihak berkuasa Indonesia sebelum ini menyelamatkan 46 ekor orang utan sepanjang Ogos dan September ketika kebakaran hutan semakin merebak di beberapa kawasan di Borneo.
Ketua Pegawai Eksekutif Yiari, Karmele Llano Sanchez, berkata pemindahan orang utan terbabit merupakan langkah perlu selepas habitat asal haiwan itu tidak lagi selamat akibat kebakaran dan kemusnahan hutan.
Antara yang dipindahkan ialah Mama Nopi bersama tiga anaknya, Nopi, Naufal dan Nopan, yang ditemui hidup di ladang kelapa dan getah selepas kawasan hutan di sekeliling musnah dijilat api.
Mama Lifa dan anaknya pula ditemui berlindung di kelompok pokok akasia yang dikelilingi ladang kelapa sawit, manakala Mama Man bersama anaknya diselamatkan selepas kebakaran mengehadkan kawasan pergerakan mereka.
Yiari berkata kawasan perlindungan yang dipilih mempunyai sumber makanan dan air mencukupi serta bersambung dengan kawasan hutan lain bagi meningkatkan peluang kelangsungan hidup haiwan itu.
“Matlamat kami bukan sekadar memindahkan orang utan yang diselamatkan, tetapi memastikan mereka mempunyai peluang untuk terus hidup dalam habitat semula jadi,” kata wakil Yiari, Argitoe Ranting.
Orang utan kini diklasifikasikan sebagai spesies terancam kritikal.
Tabung Alam Sedunia (WWF) menganggarkan hanya kira-kira 104,000 ekor orang utan masih hidup di Borneo dan Sumatera, berbanding lebih 230,000 ekor sekitar satu abad lalu.
Bulan lalu, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) memberi amaran bahawa kebakaran hutan sedang menjejaskan habitat yang menempatkan 52 peratus populasi orang utan di Borneo.
Pakar turut mengaitkan peningkatan kebakaran tahun ini dengan fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca lebih kering dan panas, selain aktiviti pembukaan tanah untuk perladangan yang memudahkan api merebak dengan lebih pantas.