SATU rakaman kamera litar tertutup (CCTV) merakam detik cemas sebuah kenderaan elektrik Tesla dengan laju merempuh Pusat Konvensyen Greater Columbus di Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

Memetik laporan media antarabangsa, dalam kejadian pada 4 Mei lalu, pemandu kenderaan jenis Model 3 Tesla itu dikatakan hilang kawalan brek ketika memandu dalam kelajuan sekitar 112 kilometer sejam.

Pemandu yang dikenali sebagai Frantz Jules, 63, didakwa turut melanggar lampu isyarat berdekatan jalan Vine dan North High sebelum hilang kawalan lalu merempuh bangunan tersebut.

CCTV memaparkan rempuhan kuat pada bahagian bangunan cermin mengakibatkan kenderaan berwarna putih itu berpusing dan mengalami kerosakan pada bahagian depan.



Beberapa saksi kejadian bagaimanapun memaklumkan kepada media tempatan bahawa mereka melihat pemandu terbabit memecut laju ketika lampu isyarat kuning dan tidak memperlahankan kenderaannya.

Akibat kejadian tersebut, pemandu terbabit mengalami kecederaan ringan dan tiada kematian dilaporkan.

Namun, kerosakan pada bangunan dianggarkan sekitar A$350,000 (RM1.54 juta).

Sementara itu, pihak polis tidak melaporkan kenderaan tersebut dipandu dalam ciri autopilot.