WIESBADEN, JERMAN: Seorang paderi Jerman mengumumkan pengundurannya daripada kariahnya selepas 37 tahun berkhidmat berikutan pendedahan hubungan percintaan rahsia dengan seorang wanita, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Sebabnya ialah saya akan berkahwin," kata Andreas Unfried menerusi laman sesawang kariah St Ursula yang terletak di Wilayah Taunus berhampiran Frankfurt, barat Jerman.
Beliau berkata telah memaklumkan kepada Uskup Georg Bätzing dari Limburg mengenai keputusannya untuk meletak jawatan bagi mengahwini "cinta agungnya."
"Kini cinta memanggil saya kepada wanita yang sekian lama berkongsi hidup dengan saya. Bersama-sama, kami akan mencari jalan untuk terus mentaati agama Kristian dan kerjaya kami mulai sekarang," tulis Unfried.
Jurucakap keuskupan Stephan Schnelle memberitahu dpa bahawa Uskup Bätzing "menggantung serta-merta" Unfried daripada tugasnya.
Pihak keuskupan mengucapkan terima kasih kepadanya "atas perkhidmatan selama berpuluh-puluh tahun dan mendoakan yang terbaik buat beliau."
Uskup Bätzing sebelum ini tidak tahu-menahu mengenai hubungan romantik rahsia itu.
Schnelle berkata: "Kes sebegini memang pernah berlaku dari semasa ke semasa."
Bagaimanapun, menurutnya, kes itu agak luar biasa memandangkan ia berlaku selepas perkhidmatan yang begitu lama.
Ekoran keputusan itu, Unfried perlu berdepan dengan kerugian kewangan pada masa hadapan, kata jurucakap berkenaan.
Mengikut peraturan Gereja, Paderi Katolik terikat dengan ikrar pembujangan dan tidak dibenarkan berkahwin.
-- BERNAMA-dpa