Skip to main content

Dunia

Pakar beri amaran ancaman senyap gunung berapi di Amerika

Mt Rainier National Park, Washington, USA
Beberapa batu di cerun barat Rainier telah dilemahkan oleh proses hidroterma, menjadikannya mudah runtuh. - Gambar/ Unsplash
Advertisement

WASHINGTON: Aliran lumpur yang membinasakan boleh melanda Gunung Rainier di negeri Washington, salah satu gunung berapi paling berbahaya di Amerika Syarikat (AS) walaupun tanpa letusan, kata seorang ahli geologi, lapor Sputnik memetik RIA Novosti.

Holly Weiss-Racine, dari Pemantauan Geologi AS (USGS), berkata penduduk berhampiran hanya mempunyai masa beberapa minit untuk menyelamatkan diri.

"Lahar (aliran lumpur daripada cerun gunung berapi) boleh dicetuskan oleh letusan, tanah runtuh atau gempa bumi namun boleh juga berlaku tanpa amaran. Kejadian ini, yang dikenali penduduk setempat sebagai 'lahar tanpa amaran', amat berbahaya kerana komuniti mungkin hanya mempunyai beberapa minit untuk berpindah," kata pakar itu.

Beliau menambah beberapa batu di cerun barat Rainier telah dilemahkan oleh proses hidroterma, menjadikannya mudah runtuh.

Kira-kira 500 tahun lepas, keruntuhan seperti itu mencetuskan lahar "Elektron" yang besar, mengalir kira-kira 62 batu (lebih kurang 100 kilometer).

Para saintis tidak menemukan bukti bahawa lahar itu disertai dengan letusan. Kajian USGS menunjukkan bahawa terdapat bilangan batuan mudah runtuh yang cukup di cerun barat Rainier untuk kejadian serupa berlaku sekali lagi.

Dalam senario sedemikian, aliran lumpur boleh sampai ke kawasan berpenduduk terdekat dalam tempoh lima hingga 10 minit dan pusat berpopulasi lebih besar kurang sejam.

Bencana baru-baru ini di Nepal juga disebabkan oleh keruntuhan glasier secara tiba-tiba.

Pada 26 Ogos, bongkah glasier, berserta ais dan batu, runtuh ke dalam sungai dan mencetuskan banjir yang membinasakan. Weiss-Racine berkata peristiwa di Nepal itu bukan disebabkan oleh lahar gunung berapi.

Antara bencana yang melibatkan lahar berlaku pada 1985, apabila letusan gunung berapi Nevado del Ruiz di Colombia mencairkan salji dan ais di puncak lalu mencetuskan aliran lumpur besar yang melanda lembah sekeliling.

Lahar itu membunuh lebih 25,000 orang termasuk kira-kira 23,000 penduduk bandar Armero, menurut USGS.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI 

 

 

Must Watch Video

Advertisement