BRUSSELS: Pakar dijangka mengemukakan cadangan kepada Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen pada Isnin berhubung kemungkinan menetapkan had umur minimum bagi penggunaan media sosial, langkah yang boleh menjadi penentu kepada penggubalan undang-undang di seluruh Kesatuan Eropah (EU).
Beberapa negara EU termasuk Sepanyol, Greece, Jerman dan Austria berhasrat memperkenalkan larangan dari segi undang-undang terhadap penggunaan media sosial oleh golongan bawah umur yang belum mencapai had umur tertentu.
Bagaimanapun, sebarang usaha melaksanakan had umur bagi platform seperti TikTok, Instagram dan Snapchat berkemungkinan memerlukan tindakan di peringkat EU memandangkan Suruhanjaya Eropah bertanggungjawab menguatkuasakan peraturan terhadap platform dalam talian utama, manakala undang-undang negara anggota perlu mematuhi perundangan EU.
Von der Leyen baru-baru ini menyuarakan kebimbangan mengenai kesan media sosial terhadap kanak-kanak dan menubuhkan panel pakar bagi menasihati suruhanjaya itu mengenai perlindungan golongan muda dalam talian.
Beliau turut merujuk Australia sebagai model yang mungkin boleh dicontohi selepas negara itu menjadi negara pertama memperkenalkan larangan akses media sosial kepada kanak-kanak bawah 16 tahun pada penghujung 2025.
Suruhanjaya Eropah dijangka mengemukakan cadangan perundangan pada akhir tahun ini.
-- BERNAMA-dpa