Sekumpulan pakar serta badan perundangan antarabangsa menggesa Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) serta negara-negara anggotanya melakukan sesuatu untuk menghentikan penindasan rejim Yahudi ke atas Palestin.

Mereka yang terdiri daripada bekas hakim, pensyarah undang-undang serta pelapor PBB mahu Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan pemimpin dunia "mengambil tindakan tegas" terhadap tembok Israel di Tebing Barat yang didudukinya.

"Ketika Gaza sekali lagi diserang (dari darat, laut dan udara), ulang tahun pandangan ICJ mengenai tembok itu adalah satu peringatan kepada

"Pendudukan dan penjajahan Israel ke atas tanah Palestin serta dasar perkauman, penindasan dan pengusiran warga adalah punca bantahan Palestin dahulu dan sekarang, dan ia mesti dihentikan," kata penyelaras kempen Stop The Wall, Jamal Juma'.

Gesaan itu dibuat sempena ulang tahun ke-10 keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang merumuskan bahawa pembinaan tembok pemisah Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Gesaan itu juga kebetulan dibuat ketika tentera rejim Yahudi melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza yang ditadbir oleh Hamas dalam tindakan ketenteraan yang dinamakan “Operation Protective Edge.”

ICJ dalam keputusannya pada 9 Julai 2004 menggesa Israel merobohkan tembok pemisah yang mula ia bina empat tahun sebelumnya. Ia juga mahu rejim Zionis itu menghentikan pembinaan serta membetulkan kerosakan yang berlaku akibat pembinaan tembok itu.

Israel membangunkan tembok pemisah itu di Tebing Barat. Dua tembok yang sama dibina di sempadan Gaza di sebelah Israel dan Mesir.

Tembok itu dibina kononnya bagi tujuan keselamatan "untuk menyekat keganasan militan Palestin". Palestin bagaimanapun melihatnya sebagai helah Israel untuk merampas tanah di luar kawasan sempadan yang dipersetujui.

Tembok itu dirancang dibina sehingga 700 kilometer. Sehingga ini, pembinaannya telah siap hampir 500 kilometer.

Surat yang dipaparkan di laman web Stop The Wall itu akan diserahkan kepada PBB semasa mesyuarat jawatankuasa khas mengenai hak Palestin di New York pada Rabu. Mesyuarat yang dihadiri oleh Ban dan negara-negara anggota PBB itu diadakan sempena ulang tahun ke-10 keputusan ICJ itu.