Skip to main content

Dunia

Pakistan didakwa lancar serangan ke atas universiti di Afghanistan

Kunar University
Menurut Taliban, serangan itu melibatkan tembakan mortar dan roket, manakala sumber lain mendakwa jet pejuang dan dron digunakan. - Foto X/Ustād Yasir

KABUL: Pakistan didakwa melancarkan serangan ke atas wilayah Kunar di timur Afghanistan yang mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 75 yang lain, termasuk pelajar serta seorang pensyarah Universiti Kunar, menurut beberapa sumber tempatan.

Kerajaan Taliban memaklumkan bahawa 30 daripada mangsa yang cedera adalah pelajar universiti.

Advertisement

Bagaimanapun, Kementerian Penerangan Pakistan menafikan dakwaan tersebut, sambil menyifatkan laporan mengenai serangan ke atas kawasan universiti dan perumahan awam sebagai tidak benar.

Menurut Taliban, serangan itu melibatkan tembakan mortar dan roket, manakala sumber lain mendakwa jet pejuang dan dron digunakan.

Seorang pensyarah Universiti Kunar yang enggan dinamakan berkata beliau mendengar dentuman kuat di seluruh kampus, mencetuskan suasana panik dalam kalangan pelajar dan kakitangan.

Seorang wartawan bebas dan aktivis hak asasi manusia di Asadabad, Matiullah Shahab, berkata beliau berada kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian dan mendengar bunyi pengeboman sekitar jam 2 petang waktu tempatan.

Beliau turut melihat penduduk awam melarikan diri dari pusat bandar, dengan beberapa mangsa dikejarkan ke hospital.

Kementerian Pengajian Tinggi Afghanistan dalam satu kenyataan berkata bangunan universiti dan kawasan sekitarnya mengalami kerosakan besar akibat serangan tersebut.

Insiden di Kunar berlaku beberapa minggu selepas serangan udara Pakistan ke atas sebuah pusat pemulihan dadah di Kabul, yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengorbankan 269 orang.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pertempuran rentas sempadan antara Pakistan dan Afghanistan telah menyebabkan ratusan korban.

Walaupun satu gencatan senjata rapuh dicapai susulan perundingan yang dimediasi China di Urumqi pada awal April lalu, ketegangan kembali memuncak.

Timbalan jurucakap kerajaan Taliban, Hamdullah Fitrat, menyifatkan serangan di Kunar sebagai “jenayah perang yang serius dan tidak boleh dimaafkan serta satu tindakan kejam dan provokatif”.

Pakistan sebelum ini menyatakan bahawa serangan udaranya menyasarkan kubu kumpulan bersenjata di Afghanistan.

Hubungan kedua-dua negara merosot sejak Islamabad menuduh Taliban menyediakan perlindungan kepada kumpulan bersenjata Pakistan Taliban, yang melancarkan pemberontakan bersenjata terhadap pasukan keselamatan Pakistan.

 

Must Watch Video