Skip to main content

Malaysia

Rusia hargai laporan seimbang Astro AWANI

Duta Rusia ke Malaysia, Naiyl Latipov (tengah) mengadakan kunjungan hormat ke stesen televisyen Astro AWANI di Bukit Jalil, 27 April 2026.
Latipov (tengah) mengadakan kunjungan hormat ke stesen televisyen Astro AWANI di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 27 April 2026. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Rusia merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Astro AWANI atas sokongan serta usaha berterusan selama ini dalam mempersembahkan laporan seimbang serta objektif mengenai negara itu.

Penghargaan disampaikan Duta Rusia ke Malaysia, Naiyl Latipov semasa kunjungan hormat ke stesen televisyen Astro AWANI di Bukit Jalil di sini semalam.

Advertisement

Ketibaan Duta Rusia ke Malaysia itu disambut Pemangku Ketua Pengarang Astro AWANI, Zaiful Ariffin, Editor Kanan, Dr Azlinariah Abdullah dan Harits Asyraf serta penyampai Niaga Awani, Nina Rozman.

"Kami amat hargai apa yang dilakukan oleh Astro AWANI selama ini. Ketika mana dunia dilanda perang dan berdepan dengan krisis bekalan global, laporan media khususnya di Astro AWANI dilihat seimbang dan tidak berpihak. Ini sesuatu yang baik untuk hubungan diplomatik kedua-dua negara," ujar beliau.

Dalam pertemuan selama sejam yang turut disertai oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Astro, Dr Grace Lee itu, kedua-dua pihak bertukar-tukar pandangan mengenai isu semasa selain meneroka potensi untuk menjalinkan hubungan lebih baik antara Rusia-Malaysia.

Latipov turut menyatakan hasrat untuk mengembangkan lagi kerjasama media dan komunikasi antara dua negara lebih-lebih lagi menjelang sambutan 60 tahun hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun depan.

"Kami di kedutaan berbesar hati untuk menerima cadangan atau idea daripada pihak media khususnya Astro AWANI dalam menghebahkan mengenai sambutan ke-60 hubungan diplomatik Rusia-Malaysia ini."

"Ini penting memandangkan dengan hebahan yang positif, seimbang dan objektif, ia mampu membantu lebih-lebih lagi dalam usaha memperkukuh hubungan sedia ada dan menggalakkan lebih ramai pelancong dari Rusia dating ke Malaysia dan sebaliknya,'' kata Latipov.

Beliau turut berkongsi bahawa akan ada berita gembira dan memberi manfaat kepada Rusia dan Malaysia bakal diumumkan pada bulan depan.

"Kita mungkin umumkan berita baik untuk manfaatnya dinikmati bersama dan berupaya eratkan hubungan dua hala yang sedia kukuh,'' katanya.

Selain Latipov, kunjungan hormat itu turut disertai Setiausaha Media Kedutaan Rusia, Mariam Musaeva, dan Asya Asiyat, Timbalan Pengarah Rumah Rusia di Kuala Lumpur.

Malaysia dan Rusia menikmati hubungan diplomatik secara rasmi pada 3 April 1967.

Ia terus berkembang apabila Rusia mempunyai kedutaan di Kuala Lumpur bermula 1968, dan kedutaan Malaysia di Moscow sejak 1968.

Rusia dan Malaysia bekerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan teknologi digital, tenaga, dan sektor ketenteraan.

Hubungan dua hala ini terus berkembang dan diperkukuh dengan lawatan Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim ke Moscow dan Kazan pada tahun lepas.

Pemimpin negara termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri Kabinet turut membuat lawatan kerja ke Moscow dan St Petersburg serta Vladivostok dengan tujuan memperkukuh jalinan Kuala Lumpur-Moscow.

Dari segi pelancongan, Malaysia menerima lebih 100,000 ketibaan pelancong dari Rusia pada tahun lepas dan terdapat potensi untuk meningkatkan jumlah pelancong dari negara itu dengan lebih banyak sambungan penerbangan.

Tiada penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Moscow atau bandar lain di Rusia tetapi pada masa ini hanya penerbangan transit melalui China yang boleh didapati untuk menghubungkan kedua-dua negara.

Must Watch Video