WIENER NEUSTADT: Perbicaraan keganasan bermula pada Isnin terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun yang didakwa merancang dan membuat persiapan untuk melancarkan serangan pengganas ke atas konsert penyanyi terkenal Taylor Swift di Vienna pada Ogos 2024.
Tertuduh, warga Austria yang dikenali sebagai Beran A, didakwa atas pelbagai pertuduhan termasuk keganasan dan tampil di hadapan mahkamah di Wiener Neustadt, selatan Vienna.
Advertisement
Dia ditahan selepas pihak berkuasa Austria menerima maklumat risikan daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS), sehari sebelum konsert pembukaan Swift di ibu negara itu.
Susulan penahanan tersebut, semua tiga konsert Taylor Swift yang habis dijual di Stadium Ernst Happel dibatalkan, mengecewakan lebih 195,000 peminat yang dijangka hadir.
Ribuan peminat dilihat berhimpun di sekitar Vienna ketika itu, menyanyi dan bertukar gelang persahabatan bertemakan Taylor Swift.
Peguam bela Beran A, Anna Mair, memaklumkan bahawa anak guamnya akan mengaku bersalah terhadap sebahagian pertuduhan yang dikenakan.
Pendakwa raya mendakwa Beran A merupakan anggota sebuah organisasi pengganas dan terlibat dalam perancangan serta persediaan serangan ke atas konsert berkenaan.
Dia juga dituduh mengikrarkan kesetiaan kepada kumpulan Daesh, menyebarkan propaganda dalam talian, menghasilkan bahan letupan dan cuba memperoleh senjata secara haram.
Menurut pendakwaan, tertuduh mendapatkan arahan melalui internet untuk menghasilkan bom serpihan menggunakan bahan letupan triacetone triperoxide (TATP), yang dikatakan sering digunakan dalam serangan Daesh.
Dia juga dipercayai menerima latihan daripada anggota IS lain dan beberapa kali cuba membeli senjata api serta grenad tangan melalui pengedar haram untuk dibawa masuk ke Austria.
Pendakwa menyatakan Beran A mula merancang serangan selewat-lewatnya pada 21 Julai 2024 dan ditahan pada 7 Ogos, sehari sebelum konsert pertama berlangsung.
Turut dibicarakan ialah seorang lagi lelaki berusia 21 tahun, Arda K, yang didakwa menjadi sebahagian daripada sel Daesh bersama Beran A.
Kedua-duanya juga dituduh merancang serangan lain di Mekah, Istanbul dan Dubai.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang remaja di Jerman sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 18 bulan digantung kerana membantu persiapan plot serangan tersebut.
Suspek, seorang warga Syria dikenali sebagai Mohammed A, didakwa membantu menterjemahkan arahan pembuatan bom daripada bahasa Arab serta menghubungkan Beran A dengan anggota Daesh.
Perbicaraan ini dijangka berlanjutan sehingga akhir Mei.
Taylor Swift kemudiannya mengesahkan bahawa beliau mengetahui tentang rancangan serangan itu ketika dalam penerbangan ke Austria, seperti didedahkan dalam dokumentari jelajah Eras Tour.
Penyanyi itu berkata konsert berkenaan hampir-hampir menjadi “situasi pembunuhan beramai-ramai” sebelum plot berkenaan berjaya digagalkan pihak berkuasa.
Dalam satu hantaran media sosial selepas insiden itu, Swift menyifatkan pembatalan konsert Vienna sebagai menyedihkan, namun berterima kasih kepada pihak berkuasa.
“Kami meratapi konsert yang dibatalkan, bukan kehilangan nyawa,” tulisnya.
Eras Tour Taylor Swift berlangsung dari Mac 2023 hingga Disember 2024, melibatkan 149 persembahan di lima benua, menjual lebih 10.1 juta tiket dan menjadi jelajah pertama dalam sejarah melepasi AS$1 bilion hasil jualan tiket.