Skip to main content

Dunia

Pakistan, Jordan kecam provokasi Israel di Al-Aqsa, keganasan pendatang haram Yahudi

Pencerobohan berulang kali oleh pendatang haram Israel dan kumpulan pelampau ke pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur mencemarkan kesucian tempat suci itu, mencetuskan ketegangan dan menjejaskan prospek keamanan. - Gambar fail Reuters
Pencerobohan berulang kali oleh pendatang haram Israel dan kumpulan pelampau ke pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur mencemarkan kesucian tempat suci itu, mencetuskan ketegangan dan menjejaskan prospek keamanan. - Gambar fail Reuters
Advertisement

HYDERABAD: Pakistan dan Jordan mengecam tindakan provokasi Israel di Masjid Al-Aqsa serta pencerobohannya di wilayah Palestin. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar dan rakan sejawatannya dari Jordan, Ayman Safadi menerusi perbualan telefon pada Selasa membincangkan cadangan Jordan untuk mengadakan mesyuarat yang melibatkan negara Arab dan Islam bagi menilai perkembangan semasa serta menyelaras usaha diplomatik. 

“Kedua-dua pemimpin menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan di Palestin yang semakin meruncing, khususnya operasi ketenteraan Israel yang berterusan di Gaza dan Tebing Barat, termasuk serangan udara yang semakin dipergiat, operasi darat serta peningkatan keganasan pendatang haram,” menurut Kementerian Luar Pakistan menerusi hantaran di platform media sosial X.

Advertisement

Mereka berkata, pencerobohan berulang kali oleh pendatang haram Israel dan kumpulan pelampau ke pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur mencemarkan kesucian tempat suci itu, mencetuskan ketegangan dan menjejaskan prospek keamanan.

Rakyat Palestin kini berdepan peningkatan tindakan keganasan oleh puak pelampau Yahudi yang dilakukan dengan perlindungan tentera pendudukan Israel.

Advertisement

Rumah, harta benda, masjid dan ladang milik penduduk Palestin dibakar sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Menteri Luar Pakistan dan Jordan mengecam tindakan provokasi serta menyalahi undang-undang itu, selain menegaskan perlunya usaha sama pada peringkat serantau dan antarabangsa bagi menanganinya, menurut hantaran Kementerian Luar Jordan di X.

Safadi turut membincangkan isu berkenaan dengan Menteri Luar Algeria, Mesir, Indonesia, Qatar, Tunisia dan Turkiye.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement