HULL: Pengembara Britain, Karl Bushby, menamatkan perjalanan berjalan kaki mengelilingi dunia yang mengambil masa 28 tahun apabila tiba di rumah zaman kanak-kanaknya di bandar Hull, utara England, selepas merentasi kira-kira 50,000 kilometer merentasi hutan, kawasan ais dan sempadan antarabangsa.
Karl Bushby, 57, disambut penuh emosi oleh ibunya, Angela, di luar kediaman keluarganya pada Isnin di bawah sepanduk bertulis "Welcome Home Son".
Ratusan penduduk dan penyokong turut memenuhi pusat bandar Hull bagi menyambut ketibaannya sebelum beliau melengkapkan langkah terakhir menuju ke rumah.
"Maaf kerana membuatkan anda semua menunggu," katanya berseloroh kepada orang ramai.
Bushby memulakan pengembaraan yang dikenali sebagai Goliath Expedition pada November 1998 di Punta Arenas, Chile.
Ketika itu, beliau hanya membawa sebuah khemah, beberapa ratus dolar dan sebuah kamera plastik murah.
Matlamatnya adalah untuk pulang ke kampung halamannya melalui laluan yang tidak terputus tanpa menggunakan sebarang pengangkutan bermotor bagi meneruskan perjalanan.
Sepanjang hampir tiga dekad, Bushby merentasi benua Amerika dari selatan ke utara sebelum menyeberangi ais di Selat Bering dari Alaska ke Rusia.
Beliau kemudian meneruskan perjalanan melalui Mongolia dan China sebelum berenang menyeberangi Laut Caspian dalam perjalanannya ke Eropah.
Perjalanannya turut dipenuhi cabaran, termasuk meredah hutan tebal Darien Gap di sempadan Colombia-Panama, ditahan pihak berkuasa selepas memasuki Rusia serta berdepan masalah visa dan kewangan yang berulang kali menangguhkan ekspedisinya.
Krisis kewangan global 2008 menyebabkan beliau kehilangan beberapa penaja utama, sekali gus memanjangkan tempoh perjalanan yang pada asalnya dianggarkan sekitar 12 tahun kepada hampir tiga dekad.
Bulan lalu, Bushby berjaya menyeberangi Selat Inggeris dengan berenang, sekali gus mengatasi halangan besar terakhir sebelum memulakan perjalanan pulang ke Hull.
Ketika tiba di bandar kelahirannya, beliau berkata kejayaan itu tidak mungkin dicapai tanpa bantuan ramai pihak yang ditemuinya sepanjang perjalanan.
"Mereka kata sesebuah komuniti diperlukan untuk menjayakan sesuatu, tetapi dalam kes saya, seluruh dunia membantu membawa saya pulang.
"Kebaikan hati orang yang saya temui, daripada individu biasa hinggalah kepada kerajaan pelbagai negara, membolehkan saya berdiri di sini hari ini. Saya tidak melakukannya sendirian," katanya.
Kisah pengembaraan luar biasa Bushby kini sedang diterbitkan dalam bentuk dokumentari, manakala beliau dijadual memulakan siri ceramah di seluruh England dalam beberapa minggu akan datang.