Skip to main content

Dunia

Pakistan lihat perkembangan rundingan AS-Iran semakin positif, namun kekal berwaspada

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian (tiga dari kiri), menghadiri pertemuan bersama delegasi peringkat tinggi dari Arab Saudi, Pakistan dan Turkiye dalam gambar yang dikeluarkan oleh Pejabat Presiden Iran. - Foto AP
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian (tiga dari kiri), menghadiri pertemuan bersama delegasi peringkat tinggi dari Arab Saudi, Pakistan dan Turkiye dalam gambar yang dikeluarkan oleh Pejabat Presiden Iran. - Foto AP

Advertisement

Ringkasan AI

  • Tentera Pakistan melaporkan kemajuan dalam usaha diplomatik merapatkan jurang antara Iran dan Amerika Syarikat walaupun masih berdepan cabaran.
  • Lawatan berulang Ketua Tentera Pakistan ke Tehran dan pertemuan serantau menandakan saluran diplomatik masih aktif serta usaha gencatan senjata diteruskan.
  • Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah antara Pakistan, Arab Saudi dan Turki dilihat penting dalam memperkukuh keselamatan serantau di tengah ketegangan Iran-AS.
Advertisement

ISLAMABAD: Tentera Pakistan menyatakan terdapat petunjuk yang memberangsangkan dalam usaha diplomatik untuk merapatkan jurang antara Iran dan Amerika Syarikat (AS), ketika beberapa negara serantau meningkatkan usaha menghidupkan semula gencatan senjata dalam konflik yang telah berlarutan selama lapan bulan.

Jurucakap angkatan tentera Pakistan, Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, berkata perkembangan terkini menunjukkan terdapat kemajuan dalam usaha rundingan, meskipun proses tersebut masih berdepan pelbagai cabaran.

Menurut beliau, lawatan berulang Ketua Tentera Pakistan, Marsyal Medan Asim Munir, ke Tehran dalam tempoh sebulan mencerminkan bahawa saluran diplomatik masih aktif dan menunjukkan tanda-tanda positif.

Advertisement

“Jika tiada perkembangan yang menggalakkan, sudah tentu lawatan seperti itu tidak akan diteruskan,” katanya dalam wawancara dengan Reuters pada Jumaat.

Bagaimanapun, Chaudhry menegaskan bahawa cabaran untuk mencapai penyelesaian masih wujud dan usaha damai berdepan pelbagai halangan.

Advertisement

Beliau mendakwa terdapat pihak tertentu yang tidak mahu melihat ketegangan antara Washington dan Tehran reda kerana menganggap konflik yang berterusan lebih menguntungkan kepentingan mereka. Namun, beliau tidak menamakan mana-mana pihak.

Kenyataan itu dibuat ketika wakil Qatar tiba di Tehran bagi meneruskan usaha diplomatik untuk memulihkan gencatan senjata yang dicapai pada Jun lalu tetapi gagal bertahan beberapa bulan selepas itu.

Pada Isnin, Munir turut menyertai pertemuan di Tehran bersama Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman, dan Ketua Perisikan Turki, Ibrahim Kalin, sebagai sebahagian daripada usaha serantau meredakan konflik berkenaan.

Perbincangan itu berlangsung selepas Pakistan, Arab Saudi dan Turki memeterai Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah pada Ogos lalu. 

Perjanjian tersebut menetapkan bahawa sebarang serangan terhadap salah satu negara anggota akan dianggap sebagai ancaman kepada semua pihak yang menandatanganinya.

Pemerhati melihat perjanjian itu semakin penting dalam suasana geopolitik Timur Tengah yang berubah susulan konflik melibatkan Iran, yang turut mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya perang yang lebih meluas di rantau tersebut.

Walaupun ketiga-tiga negara menegaskan kerjasama itu bertujuan memperkukuh keselamatan serantau dan pencegahan bersama, penganalisis berpendapat perjanjian tersebut juga menjadi platform penting bagi mengurus impak politik dan keselamatan daripada krisis Iran-AS.

Selepas rundingan di Tehran, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei, menegaskan bahawa keselamatan serantau perlu dipelihara oleh negara-negara Asia Barat tanpa campur tangan kuasa luar.

Ditanya sama ada Iran berpotensi menyertai perjanjian pertahanan itu pada masa hadapan, Chaudhry berkata dokumen berkenaan tidak menghalang penyertaan negara lain yang berkongsi matlamat yang sama dalam mewujudkan keamanan dan kestabilan serantau.

Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan sedemikian terletak kepada kepimpinan politik negara-negara yang terlibat.

Beliau turut mengulangi komitmen Pakistan untuk mempertahankan Arab Saudi serta dua kota suci umat Islam, Mekah dan Madinah, jika diperlukan.

Namun, katanya, Pakistan tidak terlibat dalam konflik di Yaman yang disifatkannya sebagai konflik dalaman negara itu.

Pertempuran yang kembali memuncak antara Arab Saudi dan kumpulan Houthi yang disokong Iran sejak tercetusnya krisis semasa turut menambah kebimbangan bahawa konflik itu boleh merebak ke bahagian lain di Asia Barat jika usaha damai gagal mencapai hasil yang diharapkan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement