DUNIA
Palestin tolak tindakan Israel rampas sebahagian Masjid Ibrahimi di Hebron

Masjid Ibrahimi disenaraikan sebagai tapak warisan budaya dan diiktiraf oleh badan hak asasi, khususnya UNESCO. - Foto X/@MiddleEastMnt
RAMALLAH: Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin menolak keputusan Israel untuk mengambil alih sebahagian Masjid Ibrahimi di Hebron, selatan Tebing Barat yang diduduki, dengan menyifatkannya sebagai pencerobohan terhadap bidang kuasa kementerian itu, lapor Anadolu Ajansi.
Ringkasan AI
- Kementerian Wakaf Palestin menolak keputusan Israel untuk mengambil alih sebahagian Masjid Ibrahimi, menyifatkannya sebagai pencerobohan terhadap kuasa eksklusif dan warisan Islam.
- Palestin menggesa UNESCO dan PBB campur tangan, memandangkan masjid itu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia dan simbol identiti Hebron yang kini terancam.
- Tindakan Israel dilihat sebagai usaha menghakis kawalan Islam ke atas tapak suci, di tengah konflik Gaza yang telah meragut lebih 1,000 nyawa Palestin di Tebing Barat sejak Oktober 2023.
Kementerian turut menegaskan haknya "untuk menjalankan pemulihan dan pembaikan yang diperlukan di masjid itu, termasuk bahagian yang dirampas, dan tidak akan menerima sebarang bentuk pengurangan kuasa atau campur tangan oleh pihak pendudukan."
Ia menekankan bahawa "Masjid Ibrahimi disenaraikan sebagai tapak warisan budaya dan diiktiraf oleh badan hak asasi, khususnya UNESCO, yang menetapkan bahawa tiada ciri-cirinya boleh diubah."
Kementerian melihat keputusan Israel itu sebagai percubaan "untuk menguasai masjid dan melangkaui pembahagian masa serta ruang ke arah pengambilalihan sepenuhnya, dengan memadamkan ciri-ciri Islam dari segi agama, sejarah dan warisan."
Kementerian turut menggesa masyarakat antarabangsa dan badan berkaitan hak asasi manusia serta warisan dunia, khususnya UNESCO, "untuk memainkan peranan mereka menghalang pendudukan Israel daripada merampas halaman bumbung masjid serta daripada melakukan pencabulan harian yang dilakukan dengan perlindungan politik jelas kerajaan."
Pegawai Palestin berkata tindakan Israel itu adalah langkah terbaharu untuk menghakis kuasa pihak berkuasa Islam ke atas satu daripada tapak suci paling sensitif di Tebing Barat.
Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) berkata perintah yang meliputi kawasan seluas 288 meter persegi itu dikeluarkan pada Isnin melalui notis rampasan rasmi.
Suruhanjaya itu merayu kepada UNESCO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk campur tangan, dengan menyatakan perlindungan masjid itu berkait rapat dengan usaha memelihara identiti Hebron serta hak rakyat Palestin terhadap tapak suci mereka.
Pada 2017, Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO mengiktiraf Bandar Lama Hebron, termasuk Masjid Ibrahimi, sebagai Tapak Warisan Dunia Palestin.
Sekitar 400 peneroka haram Israel tinggal di Bandar Lama di bawah kawalan kira-kira 1,500 tentera.
Pada 1994, Israel membahagikan masjid itu selepas seorang peneroka haram Israel melepaskan tembakan dan membunuh 29 jemaah Palestin, dengan kira-kira dua pertiga kawasan diperuntukkan kepada ibadat Yahudi dan selebihnya untuk umat Islam.
Sejak bermulanya perang pembunuhan beramai-ramai Israel di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, sekurang-kurangnya 1,022 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 7,000 cedera di Tebing Barat yang diduduki akibat tindakan tentera Israel dan peneroka haram, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Dalam pendapat bersejarah pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin sebagai tidak sah. Mahkamah itu menuntut pengosongan semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami