BANGKOK: Pandemik COVID-19 terus memberi impak negatif kepada pendidikan dan perkembangan kanak-kanak di Thailand apabila lebih ramai tidak bersekolah dan kemahiran literasi serta numerasi mereka semakin merosot berbanding sebelum pandemik.

Tinjauan Kluster Berbilang Petunjuk (MICS) yang dijalankan oleh Pejabat Perangkaan Kebangsaan (NSO) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang dikeluarkan pada Isnin menunjukkan kesejahteraan kanak-kanak semakin baik dalam banyak bidang, seperti peningkatan dalam penyusuan susu ibu secara eksklusif, penurunan kadar kelahiran dalam kalangan remaja dan disiplin yang kurang ganas digunakan terhadap kanak-kanak di rumah.

Mengenai situasi kanak-kanak dan wanita di Thailand, tinjauan itu mendapati 75 peratus kanak-kanak berumur antara tiga dan empat tahun mengikuti pendidikan awal kanak-kanak pada 2022, berbanding 86 peratus pada 2019.

Tinjauan itu turut mendedahkan bahawa lebih ramai kanak-kanak tidak bersekolah di peringkat rendah pada 2022 berbanding 2019 dan angka itu meningkat daripada satu peratus kepada empat peratus.

Di sekolah menengah, kadar tidak bersekolah meningkat daripada tiga peratus kepada lima peratus dan kadar tidak bersekolah paling tinggi di sekolah menengah atas kepada 15 peratus pada 2022.

Pada 2022, hanya 47 peratus daripada kanak-kanak Darjah 1 dan 3 mempunyai kemahiran asas membaca, merosot daripada 52 peratus pada 2019 manakala hanya 40 peratus kanak-kanak yang mempunyai kemahiran asas numerasi pada 2022, turun daripada 47 peratus pada 2019.

Tinjauan itu juga menunjukkan kadar pemakanan yang kurang baik boleh menimbulkan kesan negatif jangka panjang terhadap perkembangan otak, kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Pada 2022, 11 peratus kanak-kanak di bawah umur 5 tahun mengalami obesiti, meningkat daripada sembilan peratus pada 2019.

Kadar bantut, kurang berat badan dan kemerosotan berat badan pada 2022 hampir tidak berubah berbanding 2019, masing-masing pada 13 peratus, tujuh peratus dan tujuh peratus.

Mengenai perkahwinan awal, ia berkata satu daripada enam wanita muda berumur 20-24 (17 peratus) berkahwin sebelum umur 18 tahun dan hampir enam peratus gadis berkahwin sebelum 15 tahun pada 2022 meningkat daripada tiga peratus pada 2019.

Sementara itu, dari segi kesejahteraan kanak-kanak, tinjauan itu mendapati ia bertambah baik dalam banyak bidang seperti peningkatan dalam penyusuan susu ibu secara eksklusif, penurunan kadar kelahiran remaja dan kurang disiplin keganasan yang digunakan terhadap kanak-kanak di rumah.

Selain itu, kadar kelahiran remaja Thailand menurun daripada 23 setiap 1,000 wanita berumur antara 15 dan 19 tahun pada 2019 kepada 18 pada 2022. Kelaziman disiplin ganas di rumah terus menurun daripada 75 peratus pada 2015 kepada 58 peratus dan pada 5419. peratus pada 2022.

Wakil UNICEF untuk Thailand, Kyungsun Kim, berkata data MICS 2022 itu mengesahkan impak wabak itu yang memusnahkan dan berlarutan, terutama terhadap pendidikan.

"Walaupun kemuncak pandemik COVID-19 mungkin telah berlalu, impaknya terus mengancam kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak.

"Ia telah menjejaskan perkembangan kanak-kanak dan mendorong ramai daripada mereka tidak bersekolah.

"Oleh itu Thailand perlu melabur dalam sistem pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial yang berkualiti untuk merapatkan jurang dan memastikan kanak-kanak dapat mencapai potensi penuh mereka dan membantu negara mencapai masa depan yang makmur dan mampan untuk semua," katanya dalam satu kenyataan.

MICS dijalankan setiap tiga tahun dan meneliti 130 faktor yang mempengaruhi kesejahteraan kanak-kanak dan wanita di Thailand, seperti kesihatan, pembangunan, pendidikan dan perlindungan kanak-kanak.

-- BERNAMA