Skip to main content

Dunia

Panel siling kabin tercabut, pesawat Boeing 737 Iran buat pendaratan cemas

Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan suasana panik dalam kalangan penumpang apabila panel siling kabin mula tertanggal, selain kedengaran jeritan penumpang ketika kejadian berlaku. -Foto X
Rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan suasana panik dalam kalangan penumpang apabila panel siling kabin mula tertanggal, selain kedengaran jeritan penumpang ketika kejadian berlaku. -Foto X

Advertisement

Advertisement

MASHHAD: Penumpang sebuah pesawat komersial milik Sepehran Airlines berdepan detik cemas apabila sebahagian panel siling kabin tercabut ketika penerbangan domestik pada Selasa.

Insiden itu berlaku ketika pesawat jenis Boeing 737-300 berkenaan dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Shahid Hashemi Nejad, Mashhad ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kermanshah.

Menurut data penerbangan, pesawat itu berlepas kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan sebelum berpatah balik dan melakukan pendaratan kecemasan di Mashhad sekitar sembilan minit kemudian.

Advertisement

Beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan suasana cemas dalam kalangan penumpang apabila panel siling kabin mula tertanggal ketika pesawat sedang mendaki.

 

Advertisement

 

Menurut Pengarah Perhubungan Awam Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Wilayah Razavi Khorasan, Hassan Jafari, lapisan getah luar pada salah satu tayar gear pendaratan pesawat itu tertanggal ketika berlepas.

Laporan awal turut menyebut serpihan getah berkenaan dipercayai merosakkan salah satu enjin pesawat dan menyebabkan gegaran mekanikal yang kuat sehingga mengakibatkan panel siling kabin tertanggal.

Bagaimanapun, juruterbang berjaya mengawal pesawat dan melakukan pendaratan kecemasan dengan selamat di Mashhad.

Pihak berkuasa penerbangan awam Iran mengesahkan semua penumpang dan kru terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Kesemua penumpang kemudian dipindahkan ke pesawat gantian untuk meneruskan penerbangan ke Kermanshah pada hari yang sama.

Sepehran Airlines setakat ini belum mengeluarkan kenyataan terperinci mengenai insiden tersebut, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berkaitan.

Must Watch Video

Advertisement